Malaysian Association of Standards Users - Overview, Competitors, and  Employees | Apollo.io06 Januari 2022
SHAH ALAM - Pembangunan berlebihan dan kekurangan pemuliharaan kawasan tadahan air serta kekurangan persediaan menghadapi bencana telah mendedahkan Malaysia kepada kesan banjir terburuk.

Setiausaha Agung Standard Users, Saral James Maniam berkata, hujan lebat dan air pasang menyebabkan beberapa sungai telah melimpah sekali gus mendedahkan banyak kawasan bandar dan hartanah ditenggelami air dan ribuan pemandu terkandas di atas jalan raya dalam kejadian banjir baru-baru ini.

“Ramai yang dipindahkan dari rumah mereka dan ada yang terkandas di atas bumbung rumah tanpa makanan dan minuman selama beberapa hari,” katanya dalam satu kenyataan.

Saral berkata, Agensi Pengurusan Bencana Malaysia (Nadma) telah melaporkan sebanyak 33 daerah di lapan negeri di Malaysia telah terjejas akibat banjir dan menyebabkan seramai 62,999 orang kehilangan tempat tinggal dan berada di 430 pusat pemindahan.

"Kejadian banjir yang bermula 18 Disember 2021 telah menyebabkan lebih 48 orang terkorban dan mangsa banjir terpaksa menanggung kerugian kerana kerosakan harta benda, rumah dan infrastruktur awam," katanya.

Menurut Saral, kerajaan perlu menggunakan pendekatan yang lebih proaktif dan dinamik terhadap pengurusan banjir.

Beliau berkata, Malaysia perlu meneroka piawaian siri ISO 22300 mengenai keselamatan dan daya tahan sebagai panduan untuk menilai penilaian risiko, penyebaran dan komunikasi pengetahuan, pemantauan dan perkhidmatan amaran, keupayaan tindak balas dan komitmen pihak berkuasa dan komuniti terhadap kemampanan sistem amaran awal.

Sumber : https://www.sinarharian.com.my/article/181662/BERITA/Nasional/Pembangunan-berlebihan-beri-kesan-banjir-terburuk
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf