fomca logoDisember 5, 2021 @ 12:00pm
KUALA LUMPUR: Pengguna mempunyai pilihan sama ada mendapatkan bekalan ayam segar atau sejuk beku selepas kerajaan mengumumkan kemasukan bekalan ayam import sehingga 10,000 tan atau 5.5 juta ekor sebulan, bagi tempoh bulan ini hingga Februari tahun depan.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata inisiatif kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) itu disambut baik selepas kekurangan bekalan ayam dalam pasaran secara purata 18 peratus bagi Oktober dan bulan lalu yang berlarutan ke bulan ini.

Katanya, langkah itu wajar diambil kerajaan bagi menangani masalah kekurangan bekalan ayam di pasaran, selain kenaikan harga jika stok tidak mencukupi.

"Kekurangan bekalan ayam tempatan boleh mengakibatkan harga di pasaran meningkat dan ini menimbulkan isu kepada pengguna, ditambah lagi ayam adalah antara bekalan makanan yang mendapat permintaan tinggi.

"Kita melihat ini sebagai satu langkah wajar diambil kerajaan, malah penetapan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia iaitu RM9.30 sekilogram memberi pilihan kepada pengguna untuk membeli," katanya kepada BH, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Rabu lalu berkata, kerajaan akan membawa masuk antara 200 hingga 300 kontena ayam sejuk beku dari luar negara seawal minggu depan memberi pilihan harga lebih murah berbanding ayam segar dari ladang.

Katanya, negara sumber bekalan ayam import itu akan diputuskan MAFI kerana terdapat banyak pilihan sama ada dari China atau Thailand.

Keperluan ayam dalam negara sebanyak 3,762 tan (2.09 juta ekor) sehari atau 113,220 tan (62.9 juta ekor) sebulan.

Mengulas lanjut, Mohd Yusof berkata, langkah diambil kerajaan ini juga dapat menstabilkan semula bekalan stok ayam segar bagi penternak ayam seluruh negara.

"Tempoh bekalan ayam sejuk beku adalah sehingga Februari tahun depan. Ini tidak mengganggu perjalanan urusan penternak ayam dengan isu kekurangan bekalan mereka, selain kestabilan harga pasaran.

"Pengguna juga masih mempunyai pilihan untuk mendapatkan ayam sejuk beku ataupun ayam segar, cuma untuk tempoh sekarang mereka perlu memahami isu kekurangan ayam segar di pasaran," katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/12/895344/lambakan-ayam-import-bantu-stabilkan-harga-ayam-fomca