fomca logoOgos 17, 2021 @ 12:54pm
Kuala Lumpur: Kerajaan diminta untuk mempertimbangkan kebenaran untuk individu yang sudah disuntik sekurang-kurangnya sekali untuk menikmati kemudahan pembukaan sektor ekonomi.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, ia membolehkan orang ramai yang belum lengkap dos vaksin turut merancakkan semula ekonomi.

Katanya, kelonggaran itu juga boleh kembali memberikan kelegaan kepada peniaga sektor bukan perkhidmatan perlu yang baru dibenarkan beroperasi semalam.

"Kebanyakan rakyat sudah terima sekurang-kurangnya satu dos dan ia mungkin boleh diberi kelonggaran untuk mereka menikmati pembukaan sektor ekonomi yang diumumkan kerajaan beberapa hari lalu.

"Jika ia hanya tertumpu kepada pengguna yang lengkap dua dos vaksin ia mungkin sedikit memperlahankan pembukaan semula sektor ekonomi," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pengguna juga diminta untuk tampil mendaftar untuk suntikan vaksin kerana ia akan memudahkan urusan harian selain merancakkan semula ekonomi.

Menurutnya, kebanyakan sektor kini sudah mengenakan syarat mereka yang lengkap dua dos vaksin saja dibenarkan untuk menikmati sektor ekonomi dengan skop lebih luas.

"Syarat dikenakan kerajaan untuk mereka yang sudah lengkap dua dos vaksin adalah untuk memastikan risiko penularan Covid-19 dapat dikurangkan.

"Ia penting kerana ramai pihak yang terbabit dalam rantaian sektor ekonomi ini berisiko jika dibuka secara meluas tanpa syarat khususnya perlu divaksin.

"Rakyat perlu sama-sama membantu mengurangkan jangkitan dan diharap proses suntikan ini dapat ditingkatkan agar lebih ramai rakyat yang dapat melengkapkan dos mereka," katanya.

Bermula semalam, beberapa sektor ekonomi dibuka bagi negeri fasa satu dan dua dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Syaratnya, mereka yang mahu menikmati kelonggaran pembukaan sektor berkenaan perlu lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/08/743470/pertimbang-kelonggaran-untuk-penerima-satu-dos-vaksin