fomca logoOgos 9, 2021 @ 12:49pm
KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mencadangkan moratorium pembaharuan lesen kenderaan motor (LKM) dan lesen memandu Malaysia (LLM) dilanjutkan sekurang-kurangnya hingga akhir tahun ini.

Timbalan Presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata lanjutan itu wajar dipertimbangkan memandangkan ramai dalam kalangan rakyat yang masih terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini hingga hilang mata pencarian.

"Lanjutan moratorium wajar dibuat khusus untuk golongan yang layak dan benar-benar terjejas kerana mereka memerlukan lebih banyak masa untuk menstabilkan semula keadaan ekonomi masing-masing.

"Langkah ini sekurang-kurang dapat membantu mengurangkan beban golongan yang terjejas, sekali gus menunjukkan keprihatinan kerajaan dengan nasib mereka," katanya kepada BH.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu kenyataan 4 Ogos lalu memaklumkan, tempoh moratorium atau lanjutan tempoh pembaharuan untuk LKM dan LMM tidak akan disambung lagi selepas 30 September ini.

Susulan itu, orang ramai diingatkan supaya memperbaharui LKM atau cukai jalan dan LMM, termasuk Lesen Vokasional (GDL dan PSV) yang sudah tamat tempoh sebelum tarikh itu bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang bermula 1 Oktober depan.

Pemilik kenderaan yang LKM tamat tempoh juga perlu memastikan kenderaan masing-masing memiliki perlindungan insurans yang sah dan menunjukkan salinan sijil perlindungan insurans (e-cover note) jika diminta pihak berkuasa.

Semalam, Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan, Datuk Zailani Hashim, dipetik sebagai berkata penamatan moratorium bagi pelanjutan pembaharuan lesen itu dianggap wajar memandangkan tempohnya sudah mencukupi.

Beliau berkata, jika ada yang masih belum memperbaharuinya sehingga 30 September ini, mereka akan dikenakan tindakan saman serta kompaun dan boleh dituduh mengikut Seksyen 26(1) dan 23(1) mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Katanya, selepas tiga kali diberikan lanjutan, kerajaan melihat sudah tiba masanya aspek pematuhan dikuatkuasakan semula dengan tiada kelonggaran yang akan diberikan.

Zailani turut dipetik sebagai berkata, bagi memudahkan urusan pembayaran pembaharuan dokumen itu, pihaknya bekerjasama dengan Pos Malaysia Berhad untuk proses transaksi bermula hari ini.

Mengulas perkara itu, Mohd Yusof berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif JPJ bersama Pos Malaysia Berhad menyediakan semula perkhidmatan kepada orang ramai untuk urusan pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu di pejabat pos seluruh negara.

"Sebelum ini, ramai menghadapi kesukaran untuk memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu masing-masing terutama mereka yang berada di luar bandar.

"Jika orang ramai dapat membuat urusan JPJ di pejabat pos walaupun hanya dibuka untuk urusan secara membuat temu janji terlebih dahulu, ia banyak memberi manfaat dan memudahkan orang ramai," katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/08/849107/fomca-cadang-lanjutan-moratorium-bagi-lkm-llm