fomca logo09 Jun 2021
SHAH ALAM - Kerajaan perlu segera menguatkuasakan Akta Kawalan Harga bagi mengawal kenaikan harga barangan asas termasuk minyak masak yang berlaku ketika ini.

Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Dr Marimuthu Nadason berkata, akta tersebut perlu digunakan bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga yang tinggi.

“Kita mempunyai Akta Kawalan Harga. Kerajaan harus menggunakan akta ini pada masa ini untuk barangan asas seperti minyak masak, beras dan gula. Ini semua adalah barangan keperluan asas yang diperlukan rakyat semua.

“Setiap tahun, kita ada musim perayaan dan kerajaan guna akta itu untuk harga siling. Begitu juga sekarang, kita gunakan harga siling kepada barangan asas supaya ia tidak boleh naik mendadak.

“Kalau kerajaan tidak tolong dan membiarkan sahaja, rakyat akan jadi susah. Bagaimana untuk mereka mendapatkan sumber bahan makanan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Marimuthu turut mencadangkan agar kerajaan mempunyai satu sistem amaran awal terhadap barangan yang berkemungkinan kehabisan stok dalam masa terdekat.

Katanya, kerajaan juga harus memberi kelonggaran kepada pihak yang mampu mengimport barangan asas bagi memastikan stok mencukupi.

“Kerajaan harus memberi kelonggaran kepada mereka yang boleh mengimport. Tak perlu ada monopoli.

“Kalau semua barangan dimonopoli pihak tertentu, bagaimana mahu mendapatkan barangan dengan harga berpatutan?” soal beliau.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/143117/BERITA/Nasional/Kerajaan-perlu-segera-kuat-kuasa-Akta-Kawalan-Harga
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf