May 10, 2021 11:39 PM
PETALING JAYA: Majikan dan kumpulan pengguna berbeza pandangan berhubung pelaksanaan perintah kawalan pergerakan di seluruh negara mulai Rabu ini, dengan seorang pemimpin persatuan pengguna berkata, terlalu banyak keputusan “flip flop” oleh kerajaan.
Presiden FOMCA, N Marimuthu berkata, pengumuman PKP ketiga secara tiba-tiba mengejutkan ramai pihak. selepas menteri Kabinet sebulan lalu menyatakan tiada lagi PKP di seluruh negara.
“Kemarahan rakyat terhadap keputusan kerajaan yang berubah-ubah sangat teruk,” katanya kepada FMT.
Beliau menggesa kerajaan melaksanakan moratorium pinjaman selama tiga bulan serta-merta dan menyediakan bantuan bulanan sebanyak RM1,000 kepada golongan berpendapatan rendah B40 serta RM500 kepada golongan berpendapatan sederhana M40.
PKP 3.0 di seluruh negara bermula 12 Mei hingga 7 Jun diumumkan hari ini dengan sekolah ditutup, manakala aktiviti sosial, termasuk ziarah Hari Raya tidak dibenarkan. Semua sektor ekonomi bagaimanapun dibenarkan beroperasi dengan arahan bekerja dari rumah dilaksanakan.
Keperluan PKP
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Jacob Geoge berkata, pihaknya menyokong pelaksanaan PKP kerana sektor ekonomi masih dibenarkan beroperasi.
“Kami tidak melihat apa-apa halangan besar. Kerajaan perlu mengambil tindakan untuk mengurangkan kadar jangkitan.”
Beliau berkata, PKP akan memberi ruang kepada petugas barisan hadapan “bernafas” untuk mengatur semula strategi mereka ketika orang ramai kekal di rumah untuk mengurangkan lonjakan kes Covid-19.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia, Shamsuddin Bardan berkata, pelaksanaan PKP adalah kritikal kerana jumlah kes terlalu tinggi.
“Jika kerajaan tidak melaksanakan PKP sekarang, ia akan menjejaskan sektor ekonomi kerana angka akan terus meningkat.”
Beliau berkata, sudah tiba masanya untuk semua orang melihat keseimbangan hidup dan punca pendapatan serta “masyarakat perlu mematuhi semua peraturan untuk memastikan angka itu menurun”.
Katanya, perniagaan akan teruk terjejas, tetapi walaupun tanpa PKP, perniagaan sememangnya sudah terjejas kerana pengguna mula berjimat cermat.
“Orang ramai tidak lagi berbelanja seperti dahulu. Mereka berjaga-jaga dengan wang mereka.”
Beliau berharap PKP ketiga mampu menurunkan jumlah kes di bawah 1,000 dan menggesa semua orang bekerjasama supaya kehidupan akan kembali seperti sedia kala.
PKP pertama kali dilaksanakan dari Mac hingga Mei tahun lalu dan kali kedua bermula Januari hingga Mac tahun ini.