fomca logo13 MAC 2021
SIARAN AKHBAR
HARI HAK-HAK PENGGUNA SEDUNIA, 15 MAC 2021
TEMA: MENANGANI PENCEMARAN PLASTIK

Hari Hak-hak Pengguna Sedunia (WCRD) disambut pada 15 Mac setiap tahun. Ini merupakan sambutan global yang diraikan oleh pergerakan pengguna di seluruh negara. Pada setiap tahun, pertubuhan pengguna di seluruh dunia akan bergabung pada hari yang sama untuk menyoroti dan memberi kesedaran mengenai sesuatu isu yang penting bagi pengguna di seluruh dunia.

Tema WCRD bagi tahun 2021 ialah `Menangani Pencemaran Plastik’. Acara WCRD diselaraskan oleh Consumers International yang mempunyai keahlian lebih daripada 200 pertubuhan dari 100 buah negara. Pada masa ini, Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) juga meupakan Presiden Consumers International.

Terdapat 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang ditetapkan semasa Sidang Kemuncak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2016. Semua matlamat ini perlu dicapai menjelang tahun 2030. Pada masa ini, bumi sedang menghadapi pelbagai masalah besar - isu wabak COVID-19 hinggalah pencemaran. Salah satu punca utama yang menyumbang kepada pencemaran ialah plastik.

Matlamat SDG yang ke-12 ialah pengeluaran dan penggunaan yang bertanggungjawab. Peningkatan pengeluaran dan penggunaan barang di seluruh dunia menjadi penyumbang utama kepada ekonomi. Tetapi pengeluaran dan penggunaan yang secara berterusan juga akan menyumbang kepada kemusnahan semula jadi flora dan fauna. Pembangunan sosial dan ekonomi sudah pasti akan merosakkan bumi di pelbagai peringkat.

Penggunaan plastik sukar dielakkan kerana penggunaannya telah menjadi suatu kebiasaan, yang memudahkan kehidupan seharian - dari peralatan makanan sehingga komponen peralatan elektrik dan kenderaan. Plastik sememangnya telah mengubah kehidupan kita. Apabila jumlah penduduk semakin meningkat setiap tahun, maka penggunaan plastik juga kian bertambah. Plastik telah menjadi keperluan manusia yang amat ketara apabila plastik telah berubah dari plastik kepada bahan polimer yang boleh menjadi sintetik, termoset dan termoplastik.

Malaysia, selain menjadi salah satu penyumbang sampah plastik yang tertinggi antara enam negara Asia, juga mengimport sampah plastik. Berdasarkan laporan World Wildlife Fund (WWF), pada tahun 2020, anggaran nilai penggunaan bungkusan plastik makanan di Malaysia berjumlah 148,000 metrik tan. Selain itu, Malaysia juga merupakan pengimport utama sampah plastik, iaitu kira-kira 870,000 metrik tan pada tahun 2018. Walau bagaimanapun, pada tahun 2019, jumlah ini berkurangan kepada 143,000 tan ketika pihak kerajaan mula mengambil langkah yang lebih tegas dan ketat dengan menutup kilang yang menjadi pengimport haram.

Masalah persekitaran yang berkaitan dengan sampah plastik telah menjadi masalah besar di Malaysia apabila ia berada di kedudukan ke-8 antara sepuluh negara teratas di dunia yang menghadapi masalah sampah plastik yang tidak terurus. Satu kajian menganggarkan bahawa Malaysia telah menghasilkan 0.94 juta tan sisa plastik yang tidak terurus. Daripada jumlah tersebut, 0.14 hingga 0.37 juta tan mungkin telah masuk ke lautan. Keupayaan negara untuk mengatasi masalah sampah plastik telah melebihi tahap kemampuan. Hanya 9% sampah plastik yang dihasilkan dunia telah dikitar semula. Sebilangan besar sampah plastik tersebut berakhir di tapak pelupusan sampah, longkang atau persekitaran.

Matlamat Pembangunan Lestari ke-12, pengeluar akan terus menghasilkan plastik kerana sentiasa wujud permintaan. Sebaliknya, pengguna yang perlu memainkan peranan dengan mengurangkan kebergantungan kepada plastik sekali guna. Kerajaan telah mengambil beberapa tindakan untuk mengurangkan penggunaan beg plastik, termasuk mengenakan caj bagi beg plastik yang dijual di pasar raya dan kedai serbaneka. Bagi mengelakkan pengguna membayar caj tersebut, maka peruncit perlu menggalakkan pengguna untuk membeli beg kitar semula dengan harga yang berpatutan, yang boleh digunakan semula oleh pengguna.

Dalam menangani penularan wabak Covid-19, Kerajaan tidak membenarkan makan di restoran. Ini telah mewujudkan perubahan kepada trend pengguna apabila pengguna mula membawa bekas mereka sendiri untuk `tapau’ makanan. Pengguna yang bertanggungjawab dan mempunyai kesedaran tentang kesan penggunaan beg plastik, akan menggunakan bekas makanan yang boleh dikitar semula. Pekerja pula membeli makanan dan makan di pejabat mereka. Ramai juga yang menggunakan bekas air yang boleh digunakan semula untuk dibawa ke mana sahaja. Dengan berbuat demikian, mereka tidak perlu membeli air minuman dalam botol. Sekolah juga menggalakkan pelajar untuk membawa air sendiri ke sekolah. Langkah ini nampak kecil tetapi ia akan memberi kebaikan kepada bumi.

Kerajaan, penyedia perkhidmatan dan pengguna mesti bertanggungjawab dan saling memainkan peranan masing-masing. Kerajaan perlu mendidik masyarakat tentang pentingnya menjaga alam semula jadi untuk generasi akan datang. Pelbagai kaedah perlu digunakan memberikan hebahan kepada masyarakat untuk mengurangkan penggunaan plastik. Kesan penggunaan plastik akan dirasai apabila orang ramai dan penyedia perkhidmatan tidak bertanggungjawab, secara berterusan membuang plastik secara tidak terurus.

Sekolah adalah tempat terbaik untuk mendidik anak-anak; anak-anak generasi masa kini berani menegur ibu bapa mereka yang membuang sampah di khalayak ramai. Selain itu, perlu diwujudkan lebih banyak pusat kitar semula supaya pengguna mempunyai akses untuk melupuskan sampah plastik atau barang yang boleh dikitar semula. Kerajaan perlu melibatkan peranan persatuan penduduk di tempat masing-masing. Ia pasti dapat mengurangkan plastik berakhir di tapak pelupusan sampah.

Platform e-dagang telah menjadi pilihan pengguna untuk membeli barangan pengguna dan juga makanan terutamanya semasa wabak Covid-19. Ramai yang akan membeli barang makanan melalui platform dalam talian. Terdapat banyak penggunaan plastik untuk membungkus barangan tersebut. Platform e-dagang dan juga penjual mesti melabur dalam beberapa penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menggantikan pembungkus plastik dengan jenis pembungkusan yang boleh dikitar semula seperti kadbod. Sekiranya kadbod berakhir di tempat pembuangan sampah, kerosakan pada bumi dapat diminimumkan kerana bahan ini mudah dikitar semula. Sekiranya penggunaan plastik tidak dibendung, ia akan berakhir di tapak pelupusan sampah atau di lautan.

Peruncit dan pasar raya perlu mengurangkan penggunaan beg plastik untuk membungkus sayur-sayuran, buah-buahan atau makanan kering seperti bawang, bawang putih dan kentang. Mereka perlu mewujudkan sistem yang membolehkan pengguna membayar apa yang ada di dalam beg, bakul atau troli mereka. Plastik yang digunakan pasti akan berakhir di tapak pelupusan sampah. Beg yang boleh dikitar semula harus dijual di semua kedai runcit, pasar raya besar dan kedai serbaneka.

Syarikat yang mengeluarkan makanan atau barang-barang lain juga mesti memainkan peranannya dalam mengurangkan penggunaan plastik. Sebuah syarikat telah menunjukkan komitmen untuk menghapuskan penggunaan penyedut minuman plastik dalam penghasilan produk makanan pelbagai suhu ultra-tinggi (UHT) mereka dan menggantikannya dengan penyedut minuman kertas. Syarikat lain juga harus mengikut langkah inisiatif syarikat ini yang menuju ke arah dunia yang bebas daripada plastik sekali guna.

Menyedari perlunya penglibatan pengguna ini, Consumers International telah mengumumkan tema bagi Hari Hak-hak Pengguna Sedunia (15 Mac 2021) ialah 'Menangani Pencemaran Plastik'. Kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan melibatkan pengguna di seluruh dunia untuk melakukan amalan yang lebih lestari. Malaysia juga telah membangunkan “Malaysia’s Roadmap Towards Zero Single Use Plastics 2018-2030: Towards a sustainable future” (Pelan Tindakan Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030: Ke Arah Masa Hadapan Yang Lestari). Visi Pelan Tindakan ini adalah menuju ke arah sifar penggunaan plastik sekali guna supaya alam sekitar di Malaysia lebih bersih dan sihat menjelang 2030.

Seterusnya visi Pelan Tindakan ini juga mengambil pendekatan berperingkat, berasaskan bukti secara holistik dengan melibatkan semua pihak yang berkepentingan untuk bersama-sama menangani pencemaran plastik sekali guna di Malaysia. Namun, kesedaran mengenai usaha yang dilakukan oleh kerajaan adalah rendah. Dalam satu kajian, hanya 44% rakyat Malaysia mengetahui tentang Pelan Tindakan Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna. Seterusnya hanya 64% yang mengetahui larangan penggunaan penyedut minuman plastik oleh Kerajaan. Secara amnya, hanya 56% rakyat Malaysia yang prihatin dengan isu plastik sekali guna.

Plastik akan terus kekal di sini kerana ia sudah sebati dengan kehidupan seharian. Semakin banyak produk yang menggunakan polimer kerana plastik adalah polimer. Penggunaan plastik memang tidak dapat dielakkan dalam kehidupan masyarakat tetapi bukan plastik sekali guna. Sudah tiba masanya kerajaan, syarikat dan pengguna bertanggungjawab memainkan peranan masing-masing dalam membanteras penggunaan plastik sekali guna dari kehidupan seharian masyarakat. Ini adalah tanggungjawab semua pihak dalam menyelamatkan bumi untuk generasi akan datang.

Datuk Dr. Marimuthu Nadason
Presiden