fomca logoMac 3, 2021 @ 4:26pm
KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) meminta kerajaan meneliti semula kadar faedah gadai janji dan sewa beli dalam suasana pandemik COVID-19 yang belum pulih sepenuhnya.

Presidennya, Prof Datuk Dr N Marimuthu, berkata pengurangan itu wajar dikaji semula memandangkan kebanyakan institusi perbankan mengumumkan keuntungan besar bagi tahun kewangan 2020.

"Pengurangan kadar faedah itu juga perlu membabitkan pinjaman kerajaan bagi membolehkan orang awam berbelanja, sekali gus memberi suntikan kepada ekonomi negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, kerajaan perlu membantu keluarga berpendapatan pertengahan dan rendah yang berdepan kekangan ekonomi disebabkan pandemik COVID-19 dengan mengurangkan kos perbelanjaan isi rumah.
Marimuthu berkata, ketika ini tidak banyak insentif dan pengurangan tarif diberikan kepada golongan berkenaan kecuali oleh sektor tenaga yang memberikan potongan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sejak PKP dilaksanakan, ramai dalam kategori ini hilang pekerjaan dan dikurangkan pendapatan tetapi masih perlu menanggung kewajipan kewangan membayar bil utiliti setiap bulan.

"Mereka juga terpaksa berdepan kenaikan harga makanan dan barangan keperluan penting," katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/03/792256/syor-teliti-semula-kadar-faedah-gadai-janji-sewa-beli-fomca