Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) menjalankan  program Kempen Ke Arah Masyarakat Celik Kewangan di Sabah dan di LPPKN Kepala Batas, Penang. 
 
Pada Julai 2017, FOMCA telah menjalankan sebanyak 6 program Ceramah Ke Arah Masyarakat Celik Kewangan 2017 di empat lokasi yang berbeza di kawasan sekitar Kinarut, Tawau, Kunak dan Sugut, Sabah. 
 
Hal ini selaras dengan isu pengurusan kewangan masyarakat Malaysia, terutama di Sabah yang masih pada tahap yang membimbangkan kerana masih kurang kesedaran tentang kepentingan pengurusan kewangan bagi setiap individu. Program ini juga bertujuan memberi kesedaran terhadap jenayah kewangan yang semakin meningkat saban hari.
 
Oleh itu, bagi memantapkan lagi pemahaman dan kesedaran masyarakat Malaysia dalam isu kepentingan pengurusan kewangan dan jenayah kewangan, maka pihak FOMCA dengan kerjasama BNM dan LPPKN, Kepala Batas telah mengadakan Ceramah Ke Arah Masyarakat Celik Kewangan pada 23 Ogos 2017, bertempat di LPPKN, Kepala Batas. 
 
Majlis ini telah dihadiri oleh 180 orang peserta. Majlis tersebut berlangsung selama setengah hari yang disertai oleh pegawai-pegawai kerajaan, NGO dan orang awam. 
 
Topik yang dibentangkan adalah berkenaan hak dan tanggungjawab pengguna, yang disampaikan oleh pegawai FOMCA, seterusnya pendidikan dan pengurusan kewangan serta jenayah kewangan yang disampaikan dari pegawai dari Bank Negara Malaysia. 
 
Program tersebut turut dimeriahkan lagi dengan pelbagai gerai pameran dan maklumat yang disediakan oleh LPPKN.
 
Objektif utama program kesedaran ini dijalankan adalah untuk memupuk kesedaran orang ramai khususnya masyarakat di Pulau Pinang mengenai kepentingan Pengurusan kewangan bagi setiap individu mahu pun yang sudah berkeluarga. 
 
Di samping itu, ceramah ini diadakan adalah untuk memberikan pendedahan kepada orang ramai tentang jenayah kewangan serta modus operandi yang telah dijalankan oleh sindiket. 
 
Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat di Pulau Pinang. Majoriti peserta program tersebut memberi maklum balas yang memberangsangkan dan berharap agar lebih banyak program atau kempen kesedaran seperti ini dijalankan. 
 
 
 
 
 
 
 
Ahmad Amsyar Haiqal Bin Mazlan
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)