Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM) dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menjalankan 40 program Kempen Kepentingan Pembetungan dalam Mewujudkan Komuniti Mesra Alam di seluruh Malaysia termasuk di Balok, Kuantan. 
 
Pada Mei 2017, WECAM telah menjalankan aktiviti pengosongan tangki septik individu (IST) di 50 buah premis di kawasan Taman Balok Makmur, Balok, Kuantan bersempena dengan Program Kesedaran Pengosongan Tangki Septik Individu Peringkat Negeri Pahang. 
 
Hal ini selaras dengan isu pencemaran Sungai Nyior yang berlaku pada awal tahun 2016 yang dikatakan berpunca daripada limpahan air kumbahan dan enapcemar daripada IST milik premis penduduk sekitar ke longkang dan seterusnya dialirkan ke dalam sungai. 
 
Oleh itu bagi memantapkan lagi pemahaman dan kesedaran penduduk Balok dalam isu kepentingan pengosongan tangki septik individu, maka pihak WECAM dengan sokongan SPAN dan kerjasama JKKK Balok, Kuantan telah mengadakan Ceramah Kepentingan Pembetungan Dalam Mewujudkan Komuniti Mesra Alam pada 20 Ogos 2017 bertempat di Dewan Orang Ramai Balok yang telah dihadiri oleh seramai 80 orang peserta. 
 
Program ceramah tersebut turut dimeriahkan lagi dengan Pertandingan Mewarna Kanak – Kanak dalam kalangan pelajar - pelajar tabika di sekitar Balok. Pertandingan tersebut disertai seramai 30 orang kanak-kanak.
 
Objektif utama program kesedaran ini dijalankan adalah untuk memupuk kesedaran orang ramai khususnya penduduk di sekitar Balok mengenai kepentingan pengosongan tangki septik individu (IST) kepada alam sekitar dan kesihatan awam. 
 
Di samping itu, ceramah ini diadakan adalah untuk memberikan pendedahan kepada orang ramai tentang sistem pembetungan yang efisien. 
 
Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk di sekitar Balok, Kuantan. Majoriti peserta program tersebut memberi maklum balas yang memberangsangkan dan berharap agar lebih banyak program atau kempen kesedaran seperti ini dijalankan. 
 
Tambahan pula, menurut Indah Water Konsortium (IWK) kutipan bil perkhidmatan pembetungan yang tertunggak juga telah meningkat. 
 
IWK berjaya mengutip 87 peratus daripada RM8 juta bil perkhidmatan pembetungan tertunggak yang terkumpul sejak 1997. 
 
Berdasarkan peningkatan jumlah kutipan tersebut maka terbukti bahawa program kesedaran ini memberikan impak positif kepada para pengguna.
 
 
 
 
 
 
Ahmad Amsyar Haiqal Bin Mazlan
Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)