MUKADIMAH
SEBUAH syarikat jualan kredit didapati menggunakan strategi pengilanan mengelirukan berhubung penjualan produk mereka.

Tindakan itu menyebabkan kebanyakan pengguna terjerat dengan tawaran skim pembelian yang sebenarnya boleh memperdaya mereka sehingga terpaksa menanggung pembayaran jauh lebih tinggi atau tiga kali ganda daripada harga asal.

Tanpa menceritakan secara terperinci setiap perjanjian kontrak skim pembelian itu dan penggunaan bahasa yang mengelirukan, pengguna akhirnya berasa tertipu, apatah lagi sekiranya gagal melunaskan pembayaran ansuran secara konsisten.

Malah ramai pelanggan yang melalui pengalaman pembelian dengan syarikat jualan kredit terkenal di negara ini pernah menerima ugutan termasuk menyita barang-barang rumah mereka walaupun hanya tidak dapat membuat pembayaran dalam tempoh sebulan

Wartawan daripada Utusan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM baru-baru ini meninjau beberapa syarikat jualan kredit berhubung tawaran skim penjualan mereka yang dikatakan menjerat mangsa serta reaksi daripada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berhubung isu ini.

 

KUALA LUMPUR 28 Julai  -  Syarikat jualan kredit terkenal di negara ini didapati menjual kebanyakan produk mereka dengan harga hampir 300 peratus lebih tinggi daripada harga asal melalui skim jualan kredit di bawah kelolaannya.

Harga berkenaan ternyata tidak masuk akal dan amat mencekik darah pembeli biarpun ditawarkan bayaran ansuran sehingga 60 bulan atau selama lima tahun dengan mengenakan bayaran faedah melebihi tiga peratus.

Ramai antara pembeli terpengaruh dengan strategi iklan dan pemasaran yang ditawarkan sekali gus mengaburi mata pengguna dengan terma dan syarat perjanjian melalui penggunaan ayat yang sukar difahami.

Sebagai contoh, untuk sebuah telefon bimbit berjenama terkenal ditawarkan pada harga RM3,799 untuk pembelian secara tunai. Namun, jika membeli secara ansuran, harga tersebut mencanak sehingga RM10,210 iaitu peningkatan sebanyak RM6,411 atau hampir tiga kali ganda daripada harga asal.

Harga berkenaan tidak terma­suk caj bagi jaminan kualiti produk yang akan dikenakan mengikut tempoh tahun jaminan.

Tinjauan ke salah sebuah cawangan jualan kredit mendapati, mereka menawarkan pelbagai promosi untuk menarik minat pelanggan.

Mereka memancing pelanggan dengan promosi pulangan wang tunai sehingga ratusan ringgit dengan setiap pembelian barang.

Cara sebegini sudah tentunya mengakibatkan pengguna tidak mahu melepaskan peluang untuk mendapatkan faedah itu walaupun tidak dinyatakan secara jelas syarat-syarat kelayakannya.

Sebelum melayakkan pembeli mendapatkan skim pembe­lian kredit, mereka perlu disaring berdasarkan maklumat peribadi untuk mengetahui had kelayakan kredit dengan menyiasat sejarah komitmen hutang, pekerjaan dan pendapatan pengguna.

Pengguna pastinya teruja jika mengetahui had kelayakan kredit mereka untuk pembelian produk sehingga RM10,000 pada satu-satu masa.

Tinjauan satu lagi syarikat jualan kredit yang mempunyai skim pinjaman kelolaan syarikat itu sendiri mempunyai modus ope­randi yang sama. Namun bayaran faedah yang dikenakan tidak se­tinggi syarikat jualan kredit ter­kenal tersebut iaitu tidak melebihi 1.8 peratus.

Tempoh bayaran ansuran pula tidak terlalu panjang iaitu sehingga 48 bulan sahaja. Walau bagaima­napun, ia terpulang kepada ke­sedaran pengguna untuk membuat pilihan terbaik tanpa berbelanja mengikut nafsu sehingga menyesal di kemudian hari.

Kewujudan syarikat-syarikat jualan kredit itu di kebanyakan kawasan pinggir bandar dan luar bandar serta majoriti penduduk Melayu juga merupakan satu strategi bagi memancing golo­ngan itu berbelanja dengan cara skim jualan kredit.

sumber :- https://www.utusan.com.my/berita/nasional/untung-tiga-kali-ganda-1.508692