KUALA LUMPUR 24 Julai - Gejala vandalisme terhadap kemudahan transit ali­ran massa (MRT) Sungai Buloh-Kajang yang baharu sahaja beroperasi pada 17 Julai yang lalu disifatkan sebagai insiden yang memalukan.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, walaupun kerajaan menghabiskan berjuta-juta ringgit untuk memberi kemudahan kepada rakyat, masih ada tidak tahu menghargainya.

“Inilah sikap segelintir mas­ya­rakat yang tidak menghargai kemudahan yang disediakan, sebaliknya dirosakkan begitu sahaja, bukan sahaja merugikan kerajaan yang perlu berbelanja besar untuk kerja-kerja membaik pulih tetapi juga merugikan diri sendiri.

“Masyarakat di negara maju sangat menghargai keemudahan awam kerana ia merupakan pengangkutan utama mereka, jadi satu perubahan sikap dan mentaliti diperlukan dalam diri rakyat Malaysia bagi menjamin masa depan pengangkutan awam, jika tidak selagi itulah kita tidak akan ke mana-mana,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi Strategik dan Hubungan Pihak Berkepentingan MRT Corp, Datuk Najmuddin Abdullah yang mendedahkan sikap sesetengah pengguna MRT yang sengaja menggores dinding dan bangku, merosakkan tandas malah sanggup merosakkan ukiran Rukun Negara di Stesen Merdeka.

Sementara itu, Ke­tua Pusat Penyelidikan Pe­ngangkutan Bandar Mapan (Sutra) Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina Universiti Kebang­-
saan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Amiruddin Is­mail berkata, pihak pengurusan MRT perlu bertindak segera terhadap sebarang vandalisme yang berlaku sebelum ia berleluasa.

“Pihak pengurusan harus menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) dengan sebaiknya bagi mengenal pasti pengguna yang tidak bertanggungjawab dan kenakan tindakan yang sewajarnya kerana pengangkutan awam adalah hak milik semua orang.

“Perangai seperti ini tidak patut ada, rakyat seharusnya lebih bertanggungjawab apabila menggunakan MRT,” katanya.

sumber :- https://www.utusan.com.my/berita/nasional/vandalisme-mrt-memalukan-1.506992