SKIM pelaburan atau perniagaan berbentuk Multilevel Marketing (MLM) bukanlah suatu pekerjaan yang salah di sisi undang-undang.

Tetapi, unsur penipuan, penganiayaan dan paksaan yang diterapkan dalam perniagaan tersebut menyebabkan ramai orang muak dengan bisnes itu.

Lebih teruk lagi apabila individu yang ingin menyertai MLM memulakan modal dengan membuat pinjaman peribadi di bank atau menggunakan kad kredit.

Tidak menyedari diri ditipu, ada juga yang sanggup meminjam daripada ahli keluarga terdekat dan mengajak mereka turut serta sehinggalah dia sendiri ‘terduduk’ akibat perniagaan atau pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan tidak balik modal.

Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) melaporkan sehingga 2015, kebanyakan individu terperdaya dengan skim pelaburan dan perniagaan MLM adalah mereka yang berusia awal 30-an dan 50-an.

Menurut Ketua Pegawai Operasinya, Siti Rahayu Zakaria (gambar), mangsa yang berusia awal 30-an cenderung untuk mendapatkan modal secara pinjaman dan menggunakan kad kredit, sementara mangsa berusia 50-an dan ke atas pula menghabiskan wang simpanan untuk menyertai MLM.

Beliau berkata, MLM bukan satu bentuk pelaburan atau perniagaan yang baharu, malah kini konsepnya telah berubah demi menarik perhatian orang ramai menyertainya.

“Dahulu, pelan perniagaan MLM lebih kepada menjual produk seperi Amway, Zhulian dan sebagainya. Namun, keadaan telah berubah sekarang apabila banyak perniagaan cuba menggunakan konsep MLM.

“Sepatutnya orang ramai berhati-hati sebelum menyertai sebarang bentuk program MLM.

“Sebagai contoh, dua atau tiga tahun kebelakangan ini, terdapat satu bentuk pelaburan pertanian tular di laman sosial yang mengajak orang ramai melabur kepada pertanian dan ternakan.

“Macam mana konsep pelaburan dalam pertanian dan ternakan dibuat secara dalam talian, kemudian tak dinyatakan lokasi ladang tanaman dan ternakan,” jelasnya ketika ditemubual Utusan Malaysia Sabtu.

Tambah beliau, konsep yang sama juga pernah digunakan untuk pelaburan seperti perusahaan sarang burung walid, ikan flowerhorn dan arowana.

“Majoriti mangsa yang mengadu di FOMCA mengalami kerugian sekurang-kurangnya RM1,000. Namun, ada juga mangsa yang terperdaya sehingga RM30,000.

“Pengadu mengharapkan, duit mereka akan dipulangkan semula, tetapi itu adalah usaha yang sukar kerana selain tidak ada bukti kukuh, taktik licik penipu MLM adalah menutup syarikat. Jadi, mereka sukar dikesan.

“Untuk elak kerugian, pengguna sepatutnya siasat dahulu status syarikat MLM, bentuk serta saluran pelaburan dan logik pulangan keuntungan. Mustahil labur RM100, boleh untung sehingga RM10,000 dalam masa yang singkat,” tegasnya.

Sumber ;- Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/siasat-sebelum-masuk-mlm-1.464375#ixzz4dWCJ0Mwn
© Utusan Melayu (M) Bhd/2017/04/01