Cuti persekolahan bakal tiba tidak lama lagi, malah sambutan perayaan Aidilfitri juga bakal menjelma tidak lama lagi. Hal ini akan mendorong warga kota tidak kira agama dan bangsa untuk pulang ke kampung halaman masing-masing untuk meluangkan masa bersama keluarga tercinta.
Adakah anda sudah bersedia untuk menempuhi kesesakan jalan raya dari segi fizikal dan mental? Bagaimana pula dengan prestasi kenderaan anda? Adakah kenderaan anda telah bersedia untuk berhujan panas di jalan raya selama berjam-jam lamanya? Bila kali terakhir anda menghantar kenderaan anda di pusat servis?
Bagi ibubapa yang mempunyai anak kecil pula, Persatuan Pengguna-pengguna Standard Malaysia (Standards Users) menyarankan untuk menggunapakai kerusi khas untuk anak-anak kecil anda demi keselamatan nyawa anak-anak anda semasa berada di dalam kenderaan. Untuk ibubapa yang menyimpan niat untuk membeli kerusi khas kepada anak-anak kecil anda, terdapat beberapa tips sebelum membeli kerusi khas tersebut. Antaranya ialah, pilih kerusi khas tersebut berdasarkan berat dan ketinggian anak anda. Selain itu, pilih kerusi khas yang mempunyai label ECE R44 yang berwarna oren dan mempunyai buku panduan cara pemasangan kerusi khas tersebut. Kerusi khas yang dilengkapi dengan ISOFIX adalah bonus dalam memastikan tahap keselamatan anak-anak kecil anda. Namun begitu, kerusi khas yang tidak dilengkapi dengan ISOFIX tidak bermakna ianya tidak
selamat untuk anak anda. Paling penting ialah cara pemasangan kerusi khas yang betul berdasarkan buku panduan kerusi khas tersebut.
Juga kepada pemilik-pemilik kenderaan berat seperti lori dan bas, adakah anda patuh dengan standard piawaian yang telah ditetapkan ke atas kenderaan berat milik anda? Bagaimana pula dengan status tayar celup anda? Adakah anda sedar dengan kewujudan standard piawaian untuk tayar celup kenderaan berat atau langsung tidak tahu seperti katak di bawah tempurung? Jika diperhatikan, hanya dengan sebiji tayar terdapat pertindihan beberapa bidang kuasa antara pihak KPDNKK, MOSTI dan juga JPJ.
Selain itu, apakah status servis kenderaan berat? Adakah anda masih menyuap agensi yang berkaitan supaya kenderaan anda diluluskan untuk meneruskan perjalanan di atas jalan raya? Tetapi pengakhirannya, kenderaan berat anda telah merempuh beberapa biji kenderaan ringan dengan alasan brek tidak makan. Mati akibat kecuaian kenderaan berat adalah perkara biasa di negara Malaysia sejak kebelakangan ini. Diharap tiada lagi budaya suap-menyuap di dalam industri berkenaan. Standards Users amat berharap pihak kerajaan yang baharu ini terutama Kementerian Pengangkutan dapat menekankan tahap penguatkuasaan terhadap kenderaan berat terutamanya agar rakyat Malaysia sentiasa berasa yakin dan selamat apabila berada di jalan raya yang sama dengan kenderaan-kenderaan berat ini.
Akhir kata, Standards Users berharap pihak kerajaan yang baharu dapat memastikan tiada lagi pertindihan kuasa antara pihak berkuasa dalam sektor pengangkutan terutamanya dalam memastikan sistem pengangkutan di Malaysia dapat berjalan dengan lancar dan selamat untuk pengguna.
Nur Asyikin Bt Aminuddin
Persatuan Pengguna-pengguna Standard Malaysia (Standards Users)