Isu tenaga merupakan isu hangat yang sering dibincangkan oleh penduduk Malaysia, dan ia juga merupakan topik kritikal di seluruh dunia. Isu yang sering dikaitkan dengan isu tenaga ialah isu alam sekitar, isu ekonomi dan isu pembangunan. Tenaga yang bersih, efisien, berpatutan dan kebergantungan adalah amat penting untuk kemakmuran negara dan dunia. Pembangunan ekonomi bergerak seiring dengan peningkatan perkhidmatan tenaga yang moden.

Tenaga adalah penting untuk pembangunan ekonomi di peringkat global. Walau bagaimanapun, sektor tenaga merupakan penyumbang dominan kepada perubahan iklim, iaitu sebanyak 60% gas rumah hijau telah dihasilkan akibat daripada ketidaklestarian penjanaan dan penggunaan tenaga.

Pada masa ini, Malaysia masih lagi bergantung kepada bahan api fosil, seperti petroleum, gas asli dan arang batu. Pembangunan tenaga boleh baharu di Malaysia perlu diberi lebih perhatian. Manakala dari segi tenaga nuklear pula, persoalan mengenai keperluan tenaga nuklear masih belum lagi terjawab. Isu penstrukturan tarif juga masih lagi menjadi topik hangat dalam kalangan pengguna.

Oleh sebab itu, pihak FOMCA, WECAM dan TNB mengambil langkah inisiatif untuk merungkai segala persoalan mengenai sektor tenaga di Malaysia dengan mengadakan Persidangan Future of Energy: Consumer Perspective (Tenaga Pada Masa Hadapan: Perspektif Pengguna). Antara matlamat utama Persidangan ini diadakan adalah untuk;

 

  1. Mewujudkan kesedaran awam mengenai amalan tenaga tidak mampan pada masa ini di Malaysia
  2. Meneroka pendekatan dan usaha yang boleh diambil dalam menghasilkan dasar dan amalan tenaga boleh baharu di Malaysia
  3. Meneroka inisiatif dasar ke arah kecekapan tenaga dalam kalangan pengguna
  4. Mempelajari amalan terbaik dalam membentuk tingkah laku pengguna dalam kecekapan tenaga
  5. Meneliti isu-isu berkaitan pengguna dan tarif
  6. Meneliti keperluan dan peranan tenaga nuklear di Malaysia

Persidangan ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai. Seramai lebih daripada 200 peserta daripada pelbagai sektor menghadiri persidangan ini, yang terdiri daripada wakil daripada IPTA/S, agensi kerajaan dan swasta.