PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melakukan tinjauan harga barangan di pasar raya Giant Kota Damansara di sini, pada hari pertama pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).


Berbaju kemeja putih, Najib tiba di premis berkenaan pada pukul 4.45 petang dan mengujakan orang ramai yang terkejut dengan kehadiran Perdana Menteri.


Najib kemudian mengambil bakul pasar raya berkenaan dan singgah di bahagian produk penjagaan diri serta membelek harga produk-produk di bahagian berkenaan sebelum mengambil ubat gigi.

Beliau turut ke bahagian menjual minuman, makanan dan sayur-sayuran dan membuat pembelian antaranya milo, roti dan nanas.

Ketika berada di pasar raya besar itu, Najib yang diiringi Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan, Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk N. Marimuthu dan Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang SM Mohamed Idris, turut berbual dengan pekerja-pekerja di situ.



Najib juga beramah mesra dan bergambar dengan pengunjung pasar raya besar itu.

Selepas 20 minit meninjau barang-barang, Najib kemudian ke kaunter membuat pembayaran dan melihat resit pembayarannya.

Najib tiba di premis berkenaan pada pukul 4.45 petang dan mengujakan orang ramai yang terkejut dengan kehadiran Perdana Menteri. - Foto Bernama

Perdana Menteri turut memuat naik resit pembelian dalam akaun Twitternya.

"Mudah baca dan jelas dalam resit mengenai perbezaan barangan berkadar standard dan kadar sifar GST. Bagus," kata Najib dalam catatan Twitter itu.

Selepas membeli-belah, Perdana Menteri kemudian berbincang bersama-sama Nadzim, Marimuthu dan SM Mohamed Idris mengenai isu-isu kepenggunaan di sebuah premis makanan yang terletak dalam bangunan pasar raya besar itu.

Dalam entri Facebooknya, Najib menulis: "Saya lihat harga barang di sini berpatutan dan barangan keperluan asas berkadar sifar seperti yang ditetapkan Kerajaan,".

Terdapat lima keping gambar dimuat naik di dalam Facebooknya, antaranya sedang membeli barangan, menunjukkan resit dan bergambar serta bersalaman dengan orang ramai di pasar raya itu.

Malaysia mula melaksanakan GST hari ini yang dilihat sebagai satu pembaharuan penting dalam usaha memperkukuh ekonomi negara dengan mengambil kira kepentingan rakyat.

Langkah itu menyaksikan Malaysia menyertai barisan lebih 160 negara di dunia yang telah memperkenalkan GST, termasuk tujuh negara rantau Asia Tenggara yang menganggotai ASEAN.

Pada kadar GST enam peratus - kadar yang paling rendah dalam kalangan negara ASEAN - kerajaan menyasarkan hasil dikutip untuk kegunaan pembangunan dan meningkatkan infrastruktur sosial.


ASTRO AWANI