PETALING JAYA 15 MAC : Sempena Hari Hak-hak Pengguna Sedunia, Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) melancarkan kempen bagi menuntut bank supaya memberikan penyata bulanan secara percuma kepada pemegang akaun simpanan.

Kempen “Hak Mendapatkan Penyata Simpanan Saya” itu akan digerakan menerusi laman sosial ‘Facebook’ kata Presiden FOMCA, Datuk Marimuthu Nadason.

“Sekarang, kebanyakan bank tidak lagi mengeluarkan buku bank atau penyata aliran dan jika pengguna perlu membuat pembayaran serendah RM2 dan adakala sehingga RM5O bagi sehelai penyata.

“Selain itu, buku bank dan penyata ini juga penting sebagai bahan bukti aliran kewangan pengguna secara hitam putih bukan sekadar melalui internet dan sebagainya,” ujar Marimuthu dalam satu sidang media yang diadakan di Bangunan SKPPK di sini pagi tadi.

Selain itu, FOMCA turut mendesak kerajaan pusat untuk memberi perhatian terhadap beberapa isu berkaitan sektor perbankan yang mengelirukan pengguna.

“Pihak bank sering mengemukakan terma dan syarat yang tidak jelas atau kontrak berat sebelah, sikap tidak peduli aduan pengguna, caj tersembunyi serta perkhidmatan pelanggan yang tidak memuaskan.

“Kadangkala juga mereka sengaja menangguhkan urusan pengguna untuk selesaikan masalah, mereka mengatakan ya tapi dalam masa yang sama memberikan pelbagai kerumitan terhadap pengguna.”

Marimuthu menambah undang-undang perbankan seharusnya diperketatkan lagi untuk mengawal sikap sambil lewa pihak bank.

Kempen ini akan berlangsung selama 45 hari bermula hari ini dan pengguna hanya perlu menekan butang ‘suka’ (like) di Facebook: Right to My Statement bagi menyatakan sokongan.

“Apabila sudah mencapai sasaran sokongan, kita akan memastikan Bank Negara Malaysia akan mengeluarkan arahan kepada bank-bank seluruh Malaysia untuk memenuhi tuntutan pengguna.”

Marimuthu mensasarkan sokongan daripada 500,000 pelayar Facebook untuk kempen ini.