PETALING JAYA, 15 Mac 2012 - Sempena Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia yang jatuh pada hari ini, FOMCA telah melancarkan kempen "Wang Kita, Hak Kita- Hak Mendapatkan Penyata Simpanan Saya", yang bermula pada hari ini. Kempen ini bertujuan untuk mendapatkan sokongan pengguna terhadap hak pemegang akaun simpanan asas untuk mendapatkan buku akaun, atau sekurang-kurangnya penyata akaun bulanan, yang menunjukkan aliran wang dalam akaun simpanan.

Walaupun Bank Negara Malaysia telah menetapkan peraturan bahawa setiap pemegang akaun simpanan asas hendaklah diberikan buku akaun atau penyata akaun bulanan, namun masih terdapat bank tempatan yang tidak memberikan buku akaun kepada pemegang akaun simpanan yang baru, termasuk juga kepada pemegang akaun yang ingin memohon penggantian buku akaun yang baru.
FOMCA ingin menegaskan bahawa setiap pemegang akaun simpanan BERHAK untuk mendapatkan PENYATA AKAUN SIMPANAN BANK PADA SETIAP BULAN SECARA PERCUMA.
Kempen ini akan berlangsung selama 45 hari melalui penggunaan laman sosial Facebook. Pengguna hanya perlu menekan “suka” (like) bagi menunjukkan sokongan mereka terhadap kempen ini. Mereka juga boleh melanggan maklumat kemas kini yang mengandungi kisah sebenar pengguna yang menghadapi masalah dalam perkhidmatan kewangan, fakta dan statistik kewangan yang menarik dan video berkaitan kewangan.

Selepas tamat tempoh kempen ini, jumlah pengguna yang menyokong kempen ini akan digunakan bagi merangka langkah untuk mendesak pengawal selia kewangan mengambil tindakan yang lebih berkesan terhadap bank-bank yang mengamalkan dasar yang tidak mesra pengguna ini.

FOMCA juga mendesak kerajaan supaya memberikan perhatian terhadap isu berkaitan sektor kewangan, iaitu:

Caj dan amalan yang tidak adil

  1. Memastikan produk dan perkhidmatan kewangan mudah difahami.
  2. Memastikan terdapat standard produk yang mudah.
  3. Memastikan standard minimum bagi produk utama.
  4. Memastikan pengguna memberikan persetujuan yang bermaklumat.
  5. Memastikan kontrak yang adil
  6. Memastikan khidmat nasihat yang bebas daripada konflik kepentingan.
  7. Menggalakkan amalan jualan yang bertanggungjawab.


Reka bentuk dan penzahiran maklumat

  1. Maklumat hendaklah jelas, mencukupi, boleh dipercayai, boleh dibuat perbandingan dan bersesuaian mengikut masa.

Keperluan tindakan terhadap perlindungan kewangan amat kritikal pada masa ini disebabkan oleh:

  1. Produk dan maklumat produk yang semakin rumit.
  2. Risiko tinggi yang dikaitkan dengan produk.
  3. Keadaan semula jadi produk yang berubah dengan cepat.
  4. Keadaan semula jadi transaksi yang mempunyai tempoh yang panjang.


Bagi mengupayakan pengguna untuk menguruskan kewangan mereka secara berhemat, di samping dapat membeli produk dan perkhidmatan kewangan yang lebih berkesan, maka amat penting pendidikan kewangan diberikan kepada SEMUA.

Berilah sokongan kepada kempen ini dengan menekan “suka” di www.facebook.com/RightToMyStatement