Petaling Jaya, 18 Disember 2012 – Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) telah mengadakan sidang media mengumumkan tentang ulang tahun FOMCA yang ke-40 yang akan diadakan pada 10 Jun 2013 di Balai Besar, Alor Setar, Kedah, tempat penubuhan FOMCA pada 10 Jun 1973.

Bersempena dengan ulang tahun tersebut, FOMCA telah merangka beberapa aktiviti, antaranya majlis sambutan ulang tahun,  pameran tentang FOMCA di sebuah pusat membeli belah, dua buah penerbitan tentang sejarah dan pencapaian FOMCA serta persidangan kepenggunaan.

Dalam usianya yang hampir menjangkau 40 tahun, FOMCA cuba untuk menilai kembali sejauh mana pencapaiannya dalam memperjuang kepentingan pengguna, dan dalam masa yang sama merancang hala tujunya pada masa hadapan. FOMCA juga akan menilai tentang tahap perlindungan kepenggunaan yang sedia ada di negara ini melalui persidangan yang akan diadakan pada tahun hadapan. Untuk tujuan itu, FOMCA akan menjadikan lapan hak pengguna dan Garis Panduan Perlindungan Pengguna Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai kerangka dan penanda aras dalam menilai status perlindungan pengguna di Malaysia.


Dalam bidang advokasi pula, FOMCA akan terus memberi tumpuan kepada isu-isu pengguna, seperti harga makanan yang semakin meningkat, jaminan dan keselamatan makanan, pengangkutan awam, penjagaan kesihatan, keperluan untuk standard, perkhidmatan kewangan, jenayah yang kian berleluasa, isu-isu berkaitan perkhidmatan telekomunikasi dan multimedia dan perumahan.

Demikian juga bidang pendidikan pula, FOMCA akan terus memberi tumpuan kepada hak-hak pengguna, pendidikan kewangan untuk semua lapisan masyarakat, tenaga dan pemuliharaan air dan penggunaan yang berhemat. FOMCA akan menjalankan lebih daripada 450 program komuniti pada tahun 2013. Selain itu, FOMCA akan terus menerbitkan pelbagai penerbitan tentang pendidikan kepenggunaan, serta meningkatkan penggunaan laman sesawang dan media sosial untuk menyalurkan maklumat kepenggunaan.

Dalam majlis tersebut, FOMCA juga telah melancarkan aplikasi mudah alih telefon pintarnya, yang merupakan julung kali oleh sebuah pertubuhan pengguna di Malaysia. Usaha mewujudkan aplikasi ini bagi membolehkan FOMCA menjangkaui lebih ramai khalayak pengguna, khususnya generasi muda dalam isu kepenggunaan secara yang lebih mudah dan berkesan.

Terdapat lima elemen penting dalam aplikasi percuma ini, iaitu: Aduan, Berita, Kempen, Penerbitan dan Latar Belakang FOMCA. Kini pengguna boleh membuat aduan di hujung jari mereka melalui aplikasi ini. Mereka boleh mengambil gambar dan menghantar segera kepada FOMCA.

Sebarang berita mengenai isu pengguna atau pendirian FOMCA akan dikemas kini melalui aplikasi ini dari semasa ke semasa. Sebagai contoh, sekiranya terdapat sebarang produk yang ditarik balik oleh mana-mana negara di seluruh dunia, maklumat ini akan dikemas kini dan dimaklumkan kepada pengguna melalui aplikasi ini.

Aplikasi ini boleh digunakan untuk semua telefon pintar yang menggunakan sistem operasi Android. Aplikasi bagi sistem operasi iOS (iPhone) pula dijangka siap pada Januari 2013.

Sidang media tersebut dihadiri oleh Datuk Marimuthu Nadason, presiden FOMCA, Dato’ Paul Selva Raj, Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA dan Puan Siti Rahayu Zakaria, Naib Presiden FOMCA. Turut hadir ialah ahli Majlis Tertinggi FOMCA.

Mohd Yusof Abdul Rahman
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)