KUALA LUMPUR 6 Okt. - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memang menjangka berlakunya peningkatan aduan mengenai pengangkutan awam darat berikutan perkembangan ekonomi negara ketika ini.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, peningkatan aduan itu juga mengesahkan apa yang dibimbangkan oleh kerajaan mengenai jumlah perkhidmatan pengangkutan awam darat yang tidak dapat menampung permintaan pengguna. Katanya, peningkatan aduan itu juga akan membolehkan SPAD mendapatkan maklum balas pengguna dan merangka strategi untuk meningkatkan kuantiti dan kualiti perkhidmatan awam darat di seluruh negara.
"Sebagai contoh, inisiatif yang diambil seperti penambahbaikan perhentian bas, pelaksanaan Bas Ekspres Transit dan pengintegrasian tiket diharap membuahkan hasil dalam masa yang terdekat.

"SPAD juga akan menambah dan menempatkan stesen pengangkutan awam di tempat yang padat dengan penduduk," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau diminta mengulas laporan akhbar hari ini yang memetik Pusat Khidmat Aduan Pengguna Kebangsaan (NCCC) bahawa jumlah aduan mengenai perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini semakin meningkat dengan purata 10 aduan sehari.

Pegawai Undang-Undang Kanan NCCC, M. Matheevani berkata, dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, pihaknya menerima 1,160 aduan berbanding 2,024 kes sepanjang tahun lalu.Antara aduan tersebut ialah kekerapan berlakunya kelewatan perkhidmatan, gangguan perkhidmatan, rosak di tengah landasan, kekerapan gangguan bagi kad kaunter, masalah kad Touch & Go dan lebihan caj oleh konduktor.Selain itu, pengguna juga mengadu mengenai khidmat pelanggan yang buruk dan tiada pampasan atau mengembalikan wang kepada pengguna jika kesilapan dilakukan oleh pihak penyedia perkhidmatan.

Sehubungan itu, Syed Hamid berkata, SPAD sedang meneliti semua aduan tersebut dan beliau percaya kelemahan sistem pengangkutan awam perlu ditangani dengan menyeluruh iaitu secara makro dan mikro.

"Bagi jangka panjang, satu pelan induk akan digubal untuk menjadi panduan kepada pelan peringkat daerah dan mengikut sektor pengangkutan awam. "Bagi jangka pendek, mekanisme penerimaan aduan dan proses tindakan balas kepada aduan akan diperbaiki selain meneruskan kajian dan rundingan bersama pihak berkuasa tempatan dan jabatan kerajaan," jelasnya.

Tambah beliau, kerajaan telah mengambil langkah untuk merasionalkan kerangka perundangan dan struktur agensi yang bertanggungjawab melalui penggubalan akta berkaitan.

Antaranya ialah Akta Suruhanjaya Awam Darat 2010 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 beserta Akta Lembaga Perlesenan Kenderaan (Pindaan) 2010, Akta Keretapi (Pindaan) 2010 dan Akta Perlesenan Kenderaan Pelancongan (Pindaan) 2010.