KUALA LUMPUR 25 Nov. - Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) mendesak kerajaan membatalkan projek pengekstrakan air bawah tanah yang akan dilaksanakan oleh sebuah syarikat swasta di Batang Padang, Perak, kerana ia boleh membawa kesan buruk pada jangka masa panjang.

Menurut mereka, projek pengekstrakan air bawah tanah itu akan menyebabkan pemendapan tanah dan meningkatkan kadar tarif air yang perlu dibayar oleh penduduk.

Datuk Dr. Mohamad Shahrum Osman (BN-Lipis) berkata, berdasarkan kajian geologi baru-baru ini, hampir 83 peratus mendapan tanah di 45 bandar di Amerika Syarikat berpunca daripada pengekstrakan air bawah tanah secara berlebihan.

''Pengekstrakan air bawah tanah ini juga akan menyebabkan perubahan paras sungai, terusan dan perparitan serta mengakibatkan kerosakan infrastruktur, sistem saliran dan kemudahan asas.

''Rakyat juga bimbang kerana laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) mengenai kegiatan pengekstrakan air bawah tanah ini kurang meyakinkan apabila ia tidak menyatakan langkah bagi menjamin kadar aliran masuk melebihi kadar pengambilan air," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Bajet 2010 pada peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar di Dewan Rakyat malam semalam.

Beliau berkata, pengekstrakan air bawah tanah tersebut akan membabitkan kos yang besar dan perkara berkenaan terbukti apabila kerajaan Sarawak telah menghentikan projek yang sama kerana pembiayaan yang tinggi.

''Jika kos besar, rakyat pasti terbeban dengan kadar tarif air yang tinggi bagi mengimbangi perbelanjaan pembelian air bawah tanah yang dibekalkan oleh syarikat swasta.

''Jika ia menampakkan kerugian besar kepada rakyat, batalkan saja projek ini supaya ia bersesuaian dengan konsep kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Dalam pada itu, Ir. Hamim Samuri (BN-Ledang) berkata, selain memantau projek terbaru di Batang Padang, pemantauan juga harus dilakukan terhadap kegiatan pengekstrakan air bawah tanah yang dilakukan oleh syarikat yang mengeluarkan air mineral.

''Saya menyambut baik ulasan daripada Lipis tadi dan saya juga ingin menyentuh kegiatan 'membotolkan' air mineral yang saya nampak dilakukan secara meluas.

''Kita dapati jabatan-jabatan kerajaan yang berkaitan kurang melakukan pemantauan terhadap jumlah kuantiti air mineral yang dikeluarkan dan perubahan kawasan sekeliling di mana air ini diambil.

''Air sifatnya adalah pemegang molekul tanah. Saya bimbang sekiranya kita tidak pantau secara serius, ia mungkin boleh menjejaskan masa depan struktur tanah di negara kita," katanya.

Mengulas isu sama, Datuk Ismail Mohamad Said (BN-Kuala Krau) berkata, kerajaan harus mengambil kira bantahan orang ramai dan persatuan pengguna sebelum meluluskan projek pengekstrakan air bawah tanah.

''Projek ini mendapat pandangan berbeza daripada banyak pihak seperti Gabungan Persatuan Pengguna- Pengguna Malaysia (FOMCA) yang tidak bersetuju.

''Persatuan Pengguna Islam Malaysia pula menyatakan was-was (mengenai perkara itu), manakala Kumpulan Rakyat Prihatin meminta projek ini dikaji semula," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup ketika menggulung perbahasan itu memberi jaminan bahawa kerajaan sedang memantau dengan teliti projek pengekstrakan air bawah tanah di Batang Padang yang dijalankan oleh Sime Darby Berhad.

''Kerajaan telah meletakkan 23 syarat yang perlu dipatuhi oleh Sime Darby bagi memastikan projek ini dapat dijalankan secara mampan dan tidak menyebabkan ketidakstabilan struktur tanah.

''Pemantauan projek ini telah dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar Perak bagi memastikan air bawah tanah tidak dipam keluar secara berlebihan," ujarnya.