KUALA LUMPUR: Projek penuaian air bawah tanah tidak sesuai dilaksanakan di negara ini berikutan sumber air permukaan yang ada masih mencukupi dan mampu menampung keperluan harian pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata berdasarkan keadaan belum ‘terdesak’ untuk mendapatkan bekalan air, projek penuaian air bawah tanah tidak perlu dilakukan.

“Tidak ada alasan untuk melaksanakan penuaian air bawah tanah yang memberi banyak kesan negatif kerana negara kita masih mempunyai sumber air di permukaan yang cukup banyak dan mampu menampung keperluan.

“Langkah untuk mengkaji semula pelaksanaan projek ini oleh Perak amat dipersetujui Fomca, malah jika boleh kita berharap projek itu dibatalkan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kerajaan Perak baru-baru ini mengumumkan akan mengkaji semula projek penuaian air bawah tanah di Batang Padang, dengan mengambil kira semua aspek terutama kesan alam sekitar.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata kerajaan negeri akan mengkaji secara teliti sebelum melulus projek berkenaan.