July 20, 2020 7:54 AM
PUTRAJAYA: Pemantauan harga ayam semasa oleh Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati harga runcit ayam mula menunjukkan penurunan di pasar besar dan pasar raya mulai 1 hingga 17 Julai lalu.
Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Iskandar Halim Sulaiman berkata, trend itu sejajar penurunan harga ladang ayam hidup yang menunjukkan penurunan pada minggu ke-2 bulan ini antara RM4.50/kg hingga RM5.40/kg daripada minggu pertama RM5.20/kg hingga RM6.10/kg.
“Harga ayam standard pada Julai 2020 antara RM8/kg hingga RM8.50/kg dan menurun pada minggu ke-2 dengan harga RM7.60/kg hingga RM7.90/kg,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, KPDNHEP akan terus memantau bekalan dan harga ayam semasa di pasaran supaya harganya berpatutan.
Katanya, KPDNHEP melaksanakan pemeriksaan kenaikan harga ayam ekoran aduan orang ramai pada 15 Jun lalu.
Iskandar Halim berkata, pemantauan dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti-pencatutan (AKHAP) 2011 untuk mengenal pasti peringkat rantaian pembekalan yang menjadi punca kenaikan harga ayam serta mengesan jika wujud aktiviti pencatutan.
Katanya, 8 kertas siasatan dibuka ke atas peniaga ayam yang disyaki melakukan kesalahan mencatut dalam pemeriksaan sejak 17 hingga 30 Jun lalu.
“Semua kertas siasatan tersebut dalam siasatan lanjut untuk melengkapkan dokumen pembuktian sebelum dirujuk kepada timbalan pendakwa raya KPDNHEP.”
Katanya, 8 kes ini melibatkan 4 peruncit di pasar awam Melaka dan 4 pemborong ayam, iaitu satu di Melaka dan 3 di Kuala Lumpur. Semua kes sedang disiasat di bawah Seksyen 14(1) AKHAP.
Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/07/20/harga-ayam-mula-turun-kata-kpdnhep/