bh berita harian vector logoRabu, 15 Julai 2020 | 5:22pm
KUALA LUMPUR: Pimpinan mahasiswa secara umum menyambut baik keputusan kerajaan mengurangkan kadar yuran asrama, perkhidmatan dan aktiviti mahasiswa universiti awam (UA) sehingga 15 peratus.

Rata-rata pemimpin pelajar di UA melihat langkah itu mampu mengurangkan sedikit beban ibu bapa, khususnya yang terjejas pendapatan atau kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19, selain golongan B40.

Bagaimanapun, ada pemimpin mahasiswa berharap Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dapat mempertimbangkan untuk menambah kadar pengurangan yuran itu kepada antara 20 hingga 25 peratus.

Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUMSU), Amir Nadzim Kaharudin, mengakui pengurangan itu langkah tepat dan meringankan beban ibu bapa walaupun kadarnya agak kecil.

"Yuran penginapan di UIAM adalah RM550, bermakna pengurangan 15 peratus adalah sekitar RM80 manakala yuran aktiviti dan perkhidmatan yang merujuk kepada penggunaan perpustakaan, makmal dan pengangkutan adalah RM200, dengan pengurangan kira-kira RM30.

"UIAM sudah memberi potongan yuran penginapan hampir 50 peratus kepada pelajar yang tidak pulang ke kampus, namun saya tidak pasti kadar 15 peratus ini akan ditambah atau termasuk dalam potongan berkenaan.

"Ada UA lain tidak menawarkan potongan itu, maka KPT wajar menambah kadar pengurangan yuran itu sehingga 25 peratus," katanya.

Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM), Muhammad Haziq Azfar Ishak, turut menyambut baik pengurangan yuran itu dan memuji tindakan KPT susulan tuntutan daripada kumpulan mahasiswa sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, KMUM konsisten dengan tuntutan kumpulan itu sebelum ini yang memohon yuran pengajian di UM dikurangkan 25 peratus atau RM250, dan bukan sekadar yuran penginapan dan perkhidmatan.

"KMUM kekal dengan tuntutan sebelum ini kerana ketiadaan pelajar di kampus bererti pelajar tidak menggunakan hampir semua infrastruktur, kos logistik, kertas peperiksaan dan seumpamanya.

"Di UM, kadar yuran penginapan antara 18 Mac sehingga 12 Julai lalu sudah dikembalikan hampir 100 peratus, namun yang tiada jawapan daripada pentadbiran adalah pengurangan yuran pengajian," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Afiq Fahmi Masnawi, berkata pengurangan yuran sehingga 15 peratus memang dinanti, memandangkan pelajar tidak menggunakan kemudahan dan perkhidmatan di universiti sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, pentadbiran UTHM juga sudah mengambil inisiatif memulangkan yuran asrama sehingga 100 peratus pada 12 Julai lalu, bergantung pada jumlah hari mereka tidak menetap di kolej kediaman sepanjang PKP.

"Kita sambut baik pengumuman KPT bahawa yuran aktiviti dan perkhidmatan juga akan dikurangkan, kerana ia adalah tambahan kepada inisiatif UTHM bagi yuran asrama.

"Ketika ini, yuran asrama UTHM adalah RM731 (kampus Parit Raja) dan RM864 (kampus Pagoh) bagi satu semester, manakala RM110 bagi yuran perkhidmatan dan RM25 untuk yuran aktiviti pelajar," katanya.

Ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad memaklumkan kerajaan bersetuju mengurangkan kadar yuran asrama, perkhidmatan dan aktiviti mahasiswa di UA.

Jelasnya, pengurangan sehingga 15 peratus itu bergantung kepada kemampuan kewangan universiti masing-masing.

Difahamkan, setiap UA yang sudah mengambil inisiatif mengenakan potongan yuran asrama, perkhidmatan atau aktiviti pelajar, bebas untuk menjadikan kadar 15 peratus itu sebagai tambahan, atau sebahagian daripada potongan diberikan sebelum ini.
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/07/711186/potongan-yuran-melegakan-ramai