mymetroKhamis, 9 Julai 2020 @ 6:05 AM
PEMINJAM yang masih terkesan dari segi kewangan dan mungkin memerlukan kemudahan penyusunan serta penjadualan, digesa agar mendapatkan bantuan awal dan bersasar menjelang berakhirnya tempoh moratorium 30 September ini.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (gambar) berkata, langkah itu dapat dibuat dengan menghubungi institusi kewangan masing-masing atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi mendapat khidmat nasihat.

"Sehingga 6 Julai 2020, nilai moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan dianggarkan berjumlah RM51.4 bilion. Daripada angka itu, RM17.9 bilion adalah jumlah yang dimanfaatkan sektor perniagaan manakala jumlah dimanfaatkan rakyat bernilai RM33.38 bilion.

"Walaupun hanya bersifat sementara, pemberian moratorium ini dilaksanakan pada masa tepat dan dapat membantu golongan terjejas terutama yang kehilangan sumber pendapatan.

"Ini dapat meringankan bebanan kewangan dan membantu isi rumah terjejas untuk meneruskan kehidupan tanpa perlu risau memikirkan komitmen hutang," katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, di bawah pelaksanaan Prihatin, kerajaan memperkenalkan pembayaran bersifat one-off dan ia mencatatkan kadar yang tinggi.

"Pemberian tunai secara one-off seperti bantuan kepada pelajar institusi pengajian tinggi, pemandu e-hailing dan teksi dan pesara kerajaan membabitkan pembayaran sebanyak RM14.3 bilion, dengan tahap pencapaian pelaksanaan 91 peratus," katanya.

Katanya, bagi inisiatif membabitkan pelaksanaan antara tiga hingga enam bulan, tahap pencapaian 47 peratus dengan peruntukan RM126.4 bilion.

"Ini meliputi diskaun bil elektrik, subsidi upah (asal), moratorium serta Program Bantuan Majikan Covid-19 (e-CAP) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP).

"Ini kadar memberangsangkan memandangkan kita berada pada peringkat pertengahan pelaksanaan langkah terbabit.

"Perkara utama yang ingin disampaikan di sini ialah kita berada dalam landasan. Walaupun berdepan masalah dan cabaran sepanjang perjalanan, kita menunjukkan kemajuan baik dan bersedia melaksanakan semua langkah," katanya.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/bisnes/2020/07/597937/peminjam-terkesan-disaran-dapatkan-bantuan-awal