bh berita harian vector logoSelasa, 30 Jun 2020 | 3:31pm
KUALA LUMPUR: Seorang pesara wanita berusia 90 tahun kerugian RM3.83 juta selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam.

Mangsa mula menjadi sasaran selepas menerima panggilan daripada individu mendakwa petugas Pos Laju Malaysia, memaklumkan ada bungkusan dihantar dari Ipoh, Perak ke Sabah mengandungi kad pengenalan dan kad pengeluaran tunai automatik (ATM) atas nama mangsa, pada 13 April lalu.

Panggilan itu kemudian disambungkan kepada dua lelaki lain, masing-masing mendakwa sebagai sarjan dan inspektor polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata kedua-dua suspek mendakwa bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak.

"Mangsa didakwa terbabit dengan sindiket pengubahan wang haram manakala butiran peribadinya kononnya digunakan seorang lelaki berusia 72 tahun, bekas pekerja bank yang sudah ditangkap.

"Mangsa mendakwa diugut untuk ditangkap dan direman 45 hari jika memberitahu perkara itu kepada orang lain," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, mangsa yang bimbang dengan ugutan itu mengikut segala arahan suspek dengan memindahkan wang simpanannya ke dalam tujuh akuan syarikat berbeza.

"Pemindahan wang dibuat secara berperingkat dengan transaksi pertama pada 20 April lalu dan yang terakhir pada 15 Jun lalu.

"Semua wang yang dipindahkan berjumlah RM3.83 juta.

"Bagaimanapun, selepas menyedari menjadi mangsa penipuan, wanita itu membuat laporan polis semalam," katanya.

Nik Ezanee berkata, pihaknya dalam usaha mengesan semua suspek.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/06/705693/helah-macau-scam-pesara-rugi-rm38-juta