mymetroSEMBILAN alat pengimbas suhu digital pelbagai jenama dan 62 cecair pembasmi kuman dirampas anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam pemeriksaan di empat farmasi di sekitar Kubang Pasu.

Dalam operasi jam 12 tengahari semalam, pemeriksaan mendapati kesemua barangan terbabit tidak mempunyai label pengeluar yang sah.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kubang Pasu, K Muniandy berkata, empat farmasi yang diperiksa itu adalah di sekitar Jitra dan Kerpan.

Beliau berkata, kesemua barangan yang dirampas itu adalah kerana kesalahan di bawah Perintah Kawalan Harga( Pelabelan Oleh Pekilang, Pengimpot, Pengeluar atau Penjual Borong) 1980.

"Setiap cecair pembasmi kuman itu mempunyai 600 milimeter (ml) dan kesemua rampasan termasuk alat pengimbas suhu digital dianggarkan bernilai RM3,300.

"Setiap barangan terbabit tidak mempunyai label pengeluar yang sah dan kita meragui dari mana ia dikeluarkan. Siasatan lanjut akan dijalankan untuk mengenal pasti pembekal kesemua barangan yang disita ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Muniandy berkata, jika sabit kesalahan, mereka boleh dituduh di mahkamah dan untuk pertubuhan perbadanan (syarikat) boleh didenda tidak melebihi RM100,000 dan bagi individu, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua duanya sekali.

Sementara itu beliau menasihatkan pengguna supaya memastikan barangan itu mempunyai label pengilang, pengimpot, pengeluar atau pemborong.

Sebelum ini Harian Metro ada melaporkan penggunaan pengimbas suhu badan yang dijual murah dan tidak mengikut piawaian yang akan memberi kesan kepada bacaan suhu.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/06/591071/rampas-alat-imbas-suhu-tiada-label-sah