mymetroPENGGUNA boleh melaporkan kepada kerajaan sekiranya curiga dengan alat pengimbas yang digunakan peniaga atau pihak lain untuk menyukat suhu mereka.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, aduan itu boleh dikemukakan kepada pasukan khas untuk siasatan lanjut Kementerian Kesihatan.

Bagaimanapun, katanya, menjadi tanggungjawab pemilik premis perniagaan untuk menggunakan alat pengimbas suhu diluluskan 'Medical Device Authority' Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Pemilik atau pengusaha premis tidak boleh beli sebarangan, elok beli di farmasi bukan di pasar malam dan sebagainya. Itu yang menyebabkan berlaku perkara seperti ini (bacaan tidak tepat).

"Kalau dah beli, mereka perlu perhatikan dari segi ketepatan suhu. Kalau mereka nampak ada masalah perlu menghantar untuk dikaliberasi," katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, polis mahupun penguat kuasa kesihatan tidak memantau atau memeriksa alat pengimbas suhu digunakan peniaga kerana bukan di bawah kepakaran mereka.

"Cuma yang penting adalah pengusaha yang mesti mengambil inisiatif untuk melihat ketepatan alat itu," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, pelbagai persoalan ditimbulkan sama ada alat pengimbas suhu digital yang digunakan meluas untuk pemeriksaan suhu badan benar-benar menunjukkan bacaan tepat atau produk murahan 'cap ayam' yang sekadar memenuhi syarat.

Penggunaan alat pengimbas suhu yang dianggap 'lesen' bagi membolehkan orang ramai memasuki premis perniagaan, bangunan pejabat, kemudahan awam dan pelbagai sektor lain kini diragui ketulenannya.

Ini terbukti apabila ketepatan alat pengimbas suhu digital mula dipertikaikan masyarakat susulan terdapat bacaan berbeza bagi beberapa alat digunakan dalam tempoh sama.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/06/589981/boleh-lapor-alat-imbas-suhu-cap-ayam