ipr inisiatif pendapatan rakyat 1KUALA LUMPUR - Pelaksanaan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang menyasarkan peningkatan pendapatan golongan miskin tegar dan kumpulan B40 telah memberikan manfaat kepada 4,100 isi rumah sehingga kini, Dewan Rakyat diberitahu.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, IPR merupakan satu daripada langkah intervensi bersifat jangka masa pendek dan sederhana yang dilaksana kerajaan dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar tahun ini.

"IPR yang dilaksana meliputi penyediaan eksosistem yang lengkap dan bantuan bukan wang yang diberi kepada peserta bagi menyokong dan menggalakkan mereka menjalankan aktiviti ekonomi bagi menjana pendapatan tambahan secara mampan.

"Untuk makluman, sehingga kini kira-kira 4,100 isi rumah telah mendapat limpahan manfaat hasil pelaksanaan IPR,” katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat di sini pada Khamis.


Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) berhubung perkembangan semasa berhubung hasrat kerajaan untuk menjadikan 2023 sebagai tahun menoktahkan kemiskinan tegar serta kadar kemiskinan terkini negara.

Dengan peruntukan sebanyak RM750 juta diterima menerusi Belanjawan 2023, IPR menyasarkan membantu kira-kira 130,000 orang rakyat tersusah tanpa mengira latar belakang kaum untuk keluar dari belenggu kemiskinan.

Ia dilaksanakan menerusi tiga model iaitu Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN).

Sementara itu dalam usaha meningkatkan penyertaan golongan sasar dalam inisiatif IPR, Rafizi berkata, semua agensi kerajaan telah diminta mengenal pasti isi rumah berpendapatan rendah bagi diserapkan dalam mana-mana program bersesuaian di bawah IPR menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata, selain IPR, iltizam kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar juga dilaksana melalui pelbagai langkah di bawah Belanjawan 2024 termasuk meneruskan inisiatif Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Payung Rahmah dan subsidi kepada pesawah dan pekebun kecil serta projek pembaikan melibatkan infrastruktur luar bandar dan program pembasmian kemiskinan.

"Selain itu, kerajaan juga bersetuju mempertimbang bantuan tunai khas secara bulanan kepada isi rumah yang tidak berkemampuan untuk menjana pendapatan atau pun golongan tidak produktif bagi memastikan mereka terkeluar dari miskin tegar,” katanya.

Dalam pada itu mengenai proses pemutihan program eKasih, Rafizi berkata, setakat September 2023, lebih kurang 80,000 isi rumah telah dibersihkan dalam senarai eKasih.

Beliau berkata, pemutihan yang dijalankan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) itu dilaksana dengan melakukan semak silang secara masa nyata dengan jabatan kerajaan berkaitan selain menggabungkan data semasa di Kementerian Ekonomi.