2409249KUALA LUMPUR - Program Jualan Rahmah (PJR) Perdana sempena sambutan Deepavali akan diadakan bagi mengurangkan beban kos sara hidup golongan berpendapatan rendah (B40) dan miskin tegar.

Program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu menawarkan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah dalam skala yang besar.

KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam satu kenyataan memaklumkan, pasar raya yang terlibat dalam PJR Perdana kali ini adalah Aeon Big, Giant, NSK, KK Mart, Mydin dan Hero Market.

"Sebanyak enam barang keperluan asas utama akan dijual dengan harga rendah dan telah didiskaunkan," menurut kenyataan itu pada Jumaat.

Kenyataan itu turut memaklumkan, antara barangan keperluan harian ditawarkan pada harga lebih rendah dari pasaran setempat ialah ayam, beras, minyak masak, telur ayam, bihun dan sardin.

"Program ini juga diharapkan dapat untuk membantu bagi meringankan beban perbelanjaan isi rumah rakyat Malaysia," katanya lagi.

Bagi tujuan sama sebelum ini, (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah melaksanakan PJR secara bergerak di 11 kawasan Parlimen di Kuala Lumpur pada 24 Jun hingga 1 Ogos yang lalu.