2364163PUTRAJAYA: Agenda digitalisasi kerajaan melalui Kempen Pembayaran Tanpa Tunai dan Cek Peringkat Nasional Siri Ketiga (Cashless Boleh) yang dimulakan sejak 2020 dengan sokongan Payment Networks Malaysia Sdn Bhd (PayNet) semakin menunjukkan momentum perkembangan yang positif.
    
Hasil penganjuran edisi ketiganya, kempen Cashless Boleh 3.0 berjaya mencatatkan kadar penembusan pembayaran digital sektor awam secara keseluruhannya pada tahap 81.3 peratus, peningkatan lebih 22 peratus dari 58.8 peratus sejak 2021.
    
Selain itu, Kerajaan Negeri Selangor dan Pulau Pinang turut melepasi 80 peratus penembusan pembayaran digital, serta lapan kementerian dan agensi awam yang sebelum ini berasaskan transaksi tunai juga mencapai penembusan pembayaran digital penuh.
    
Mereka adalah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN); 155 pihak-pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT); Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI); Jabatan Imigresen Malaysia (JIM); Majlis Amanah Rakyat (MARA); Mahkamah Persekutuan Malaysia (MPM); Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO); dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).


Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kewangan, Datin Rashidah Mohd Sies berucap merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Cashless Boleh 3.0 berkata, kerajaan kekal fokus kepada peningkatan kecekapan dan ketelusan dalam sektor awam.
    
“Kerjasama sektor awam dengan sektor swasta penting untuk memajukan agenda pembayaran tanpa tunai negara seperti ini, kerana ia menyumbang secara langsung kepada matlamat tersebut.
    
“Peningkatan kecekapan dan kesenangan dinikmati rakyat dari segi masa dan kos apabila berurusan dengan kerajaan nir tunai amat ketara.”
    
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Farhan Ahmad berucap membuka majlis di Auditorium Kementerian Kewangan itu menyatakan, sebagai penyedia infrastruktur pembayaran runcit negara, PayNet berbangga dapat memudahcara perjalanan negara ke arah ekonomi digital.
    
“Natijah membuka potensi pembayaran digital kepada sektor awam amat besar dan ini memberi kesan langsung kepada keterbukaan ekonomi negara ini di samping memupuk lebih kepercayaan dan keyakinan orang ramai, dengan itu mewujudkan persekitaran lebih kondusif untuk memacu inovasi dan kemakmuran saksama.
    
“Pada 80 peratus, rakyat dan kerajaan sudah pun dapat merasakan betapa menakjubkan peningkatan kecekapan yang diperolehi.”
    
Hadiah Kategori A disampaikan kepada PERKESO untuk Kadar Penembusan Tertinggi untuk lebih daripada 3 juta transaksi pembayaran digital; sementara MARA dan MPM menerima hadiah Kategori B bagi Kadar Penembusan Tertinggi untuk lebih daripada 400,000 hingga 3 juta transaksi pembayaran digital.
    
Jabatan Insolvensi Malaysia menerima hadiah Kategori C untuk Kadar Penembusan Tertinggi untuk sehingga 400,000 transaksi pembayaran digital; dan Kerajaan Negeri Selangor diberi hadiah Kategori D untuk Kadar Penembusan Tertinggi di kalangan semua Kerajaan Negeri yang mengambil bahagian.
    
Anugerah Khas diberikan kepada PTPTN, JIM, PBT-PBT melalui KPKT, dan MITI atas kejayaan mencapai 100 peratus kadar penembusan pembayaran digital.
    
Majlis turut diserikan dengan sesi dialog bertajuk “Hala Tuju Ke Arah Pendigitalan Kerajaan, Apakah Kepentingan dan Kesesuaiannya?” yang dibarisi panel daripada para pemimpin agensi kerajaan dan industri.
    
PayNet merupakan rangkaian pembayaran infrastruktur berpusat bagi pasaran kewangan yang terunggul di Malaysia, mempelopori inovasi serta membina dan mengendali sistem pembayaran dan infrastruktur pasaran kewangan bertaraf dunia yang membolehkan pelaksanaan dan pembangunan sistem kewangan serta ekonomi keseluruhan Malaysia secara selamat, cekap dan boleh dipercayai.