243495583ac0ce183ea24fa74ce356e3653a011faea7eSHAH ALAM – Selangor memperkenalkan Insentif Mama Kerja berjumlah RM1,000 bagi menarik 5,000 wanita di negeri itu kembali bekerja semula seterusnya meringankan kos mereka berhubung taska atau tadika.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat negeri, Anfaal Saari berkata, insentif dengan peruntukan RM5 juta adalah selaras dengan statistik terkini Jabatan Perangkaan menunjukkan kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh di Selangor hanya 69.9 peratus berbanding lelaki sebanyak 83.5 peratus.

“Kerajaan negeri hanya memilih 5,000 wanita bagi penerima insentif ini, namun akan memperbanyakkan banyak program bantuan pada masa akan datang.

“Selain itu, insentif ini merupakan salah satu daripada ‘Tawaran Kita Selangor’ dalam 100 hari yang dijanjikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Ogos lalu,” katanya selepas merasmikan Insentif Mama Kerja, di sini hari ini.


Beliau memberitahu, setiap pemohon yang berjaya akan mendapat RM1,000 secara ‘one-off’ daripada kerajaan negeri.

Ujarnya, syarat kelayakan adalah pemohon harus lahir atau bermastatutin sekurang-kurangannya 10 tahun di Selangor, mengundi di Selangor, pendapatan isi rumah tidak lebih RM8,000 sebulan, mempunyai akaun Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pemohon juga mempunyai sekurang-kurangnya tiga orang anak yang mempunyai 12 tahun ke bawah dan bukan penerima bantuan Asuh Pintar, Skim Bantuan Tadika Selangor (Tunas) dan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas).

“Permohonan Mama Kerja dibuka bermula pukul 10 pagi pada 1 November ini melalui aplikasi SELangkah.

“Di samping itu, kerajaan negeri akan memperkenalkan Kerangka Ekonomi Penjagaan (Economy Care) Selangor bagi membantu wanita bekerja yang mempunyai anak,” jelasnya.