Parking rumah PPR gambar dbklPETALING JAYA: Kerajaan Negeri Sembilan tidak berhasrat mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) melaksanakan larangan meletak kenderaan di depan rumah seperti Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).

Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J Arul Kumar, bagaimanapun berkata tindakan boleh diambil jika ada aduan kenderaan diparkir menghalang lalu lintas.

“Biasanya setiap rumah hanya boleh memuatkan dua kereta di ruang parkir rumah mereka yang menyebabkan kereta lain perlu diletakkan di luar.

“Keadaan itu memang tidak dapat dielakkan. Tetapi yang selalu jadi masalah bila ada yang tidak bertanggungjawab, parkir kereta sehingga menyusahkan jiran lain yang boleh menyebabkan pergaduhan,” katanya menurut Sinar Harian.


Isnin lalu, Harian Metro melaporkan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) akan melaksanakan larangan meletak kenderaan di depan rumah mulai 1 Jan ini.

Datuk Bandar Pasir Gudang, Asman Shah Abd Rahman, berkata mulai sekarang hingga 31 Dis ini ialah proses kesedaran dan pendidikan kepada semua pihak, dengan hanya mengeluarkan notis pemberitahuan kepada pihak terbabit.

Pada 4 Okt lalu, tular notis pemberitahuan MBPG menyatakan larangan meletak kenderaan di depan rumah (luar pagar) yang boleh menyebabkan halangan di tempat awam.

Penguatkuasaan secara berfasa itu bagi menjaga keharmonian masyarakat susulan 349 aduan kenderaan menghalang laluan depan rumah diterima MBPG dari awal tahun ini hingga September lalu.

Kompaun RM100 hingga maksimum RM2,000 boleh dikenakan bagi kesalahan berulang, jika pemilik kereta tidak melakukan penambahbaikan selepas notis diberikan dan siasatan dijalankan.