bh berita harian vector logoMac 22, 2023 @ 3:33pm
KUALA LUMPUR: Mana-mana pihak termasuk pemilik atau pembeli rumah yang tidak berpuas hati terhadap pemaju susulan kualiti projek perumahan mereka digalakkan untuk mengambil tindakan undang-undang.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, proses berkenaan tidak mengambil masa yang panjang selain mereka juga tidak perlu melantik peguam.

"Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati sentiasa boleh kemukakan tuntutan di tribunal (Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah) yang agak mudah. Ia hanya satu salinan kertas dan tidak perlu lantik peguam dan semua tribunal akan bersidang pada setiap minggu.

"Kerajaan sentiasa memantau dan pada Januari lalu Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melantik seramai 39 orang Presiden tribunal tuntutan perumahan dan juga tribunal pengurusan strata dan kesemua kekosongan telah pun kita isikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Panel Of Expert (POE) Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan Tahun 2023 di Hotel JW Marriot di sini hari ini

Menurut Kor Ming, pihak tribunal juga telah menyelesaikan hampir 40,000 kes seperti itu serta kes tunggakan yang hampir sifar pada tahun lalu.
Terdahulu, wujud beberapa keluhan pembeli rumah yang tidak berpuas hati dengan sikap pemaju yang dianggap 'lepas tangan' terhadap isu kerosakan sesebuah projek perumahan.

Ia termasuk tindakan segelintir pemaju yang kelihatan sengaja melengahkan proses memperbaiki kecacatan projek bagi melepasi tempoh jaminan kerosakan (DLP) yang diberi tempoh selama 24 bulan.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/03/1080417/pembeli-rumah-tak-puas-hati-lapor-pada-tribunal