Hak Pengguna: Kuasa Pengguna!Disiarkan pada: November 30, 2021 @ 8:13am
Kajang: Pengguna dinasihat menggunakan kuasa mereka termasuk membuat perbandingan harga serta membuat pilihan premis yang meletakkan tanda harga jelas dengan menawarkan harga dan perkhidmatan berpatutan.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, kuasa pengguna adalah langkah pencegahan terbaik sebelum pengguna terkeliru atau dimanipulasi oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, pihaknya mengambil maklum berhubung isu kenaikan harga barang yang dilaporkan di media arus perdana dan media sosial.

"KPDNHEP sentiasa melakukan penguatkuasaan serta pemeriksaan untuk menangani isu kenaikan harga barang yang dilaporkan melalui pelbagai pendekatan berterusan dan agresif antaranya melalui pelaksanaan

Ops Menu di seluruh Negara.

"Pelaksanaan Ops Menu ini adalah khusus bertujuan bagi memantau dan menangani isu harga makanan bermasak mulai 6 November 2021 yang lalu," katanya pada sidang media selepas Ops Menu di beberapa premis restoran ikan bakar di Bangi, di sini, malam tadi.

Azman berkata, dalam Ops ini setakat petang semalam, sebanyak 3,770 pemeriksaan dilakukan dan daripada jumlah itu, sebanyak 27 tindakan kes diambil ke atas peniaga yang melakukan kesalahan.

"Kementerian juga akan terus melaksanakan sesi libat urus bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) serta agensi di bawahnya serta pemain industri berkaitan untuk mencari kaedah terbaik bagi menyekat kenaikan harga secara mendadak di pasaran.

"Kementerian akan menggunakan perundangan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana peniaga yang mengambil kesempatan dalam situasi semasa ini dengan mengambil keuntungan secara tidak munasabah (mencatut) sehingga menyebabkan kenaikan harga yang melampau di pasaran," katanya.

Beliau berkata, pengguna juga dinasihatkan untuk menyalurkan aduan yang lengkap termasuk bukti seperti resit, gambar dan alamat lengkap premis secara terus kepada KPDNHEP tanpa melalui saluran media arus perdana dan media sosial supaya tindakan dapat diambil secara cepat dan efektif.

"Mengenai operasi malam ini (semalam) kita dapati peniaga restoran ini mempunyai sistem yang baik dan mempamerkan tanda harga dengan jelas," katanya.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/11/783065/gunakan-kuasa-pengguna