Selasa, 11 Ogos 2020 | 8:36pm
KUALA LUMPUR: Gangguan bekalan air berjadual membabitkan 20 kawasan di Gombak dijangka pulih sepenuhnya pada jam 9.30 pagi esok.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan hari ini memaklumkan proses pemulihan adalah secara berperingkat-peringkat.

"Agihan bekalan air ke kawasan yang terjejas dijangka bermula pada jam 9.30 malam ini," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menjelaskan proses menstabilkan sistem pengeluaran bekalan air sedang berjalan selepas selesainya kerja penggantian dan penambahbaikan aset kritikal di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Gombak pada jam 6.30 petang tadi.

Air Selangor turut memaklumkan status bekalan air akan diumumkan dari semasa ke semasa menerusi media massa dan semua medium komunikasi termasuk media sosial di Twitter, Facebook, Instagram, Aplikasi Air Selangor serta dan laman sesawang kami di www.airselangor.com.

"Air Selangor ingin menasihatkan pelanggan yang terjejas untuk menggunakan air secara berhemat sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini," kata kenyataan itu.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/08/720227/gangguan-bekalan-air-di-gombak-pulih-esok