Rakyat dinasihat tidak bimbang dengan bekalan barang keperluan harian kerana ia mencukupi - Ismail Sabri. Foto arkib NSTPSelasa, 11 Ogos 2020 | 3:28pm
KUALA LUMPUR: Bekalan barang keperluan secara keseluruhannya mencukupi dan mampu menampung permintaan pengguna dalam negara yang berterusan, selain mudah diperoleh di pasaran.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memaklumkan ia adalah hasil pemantauan harian dilaksanakan Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ke atas 12 jenis bekalan barangan di 757 premis perniagaan termasuk peruncit (562), pemborong (166) dan pengilang (29).

"Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP juga melakukan 1,731 pemeriksaan khas pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Hasil pemeriksaan mendapati 1,684 premis mematuhi SOP yang ditetapkan, manakala 44 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP. Tiga premis pula diberi amaran kerana tidak patuh SOP," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/08/720083/barang-keperluan-masih-mencukupi