GAMBAR hiasan. Foto arkib NSTPJumaat, 7 Ogos 2020 | 11:53am
KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kini sedang mengesan syarikat Kredit Komuniti berlesen yang didakwa melakukan penipuan dengan mensasarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

KPKT menjelaskan, jika mana-mana syarikat pemberi pinjaman wang didapati terbabit dengan penipuan itu mereka boleh dikenakan tindakan sepertimana yang diperuntukkan di

dalam Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 .

Namun, katanya sehingga kini, kementerian tidak pernah menerima apa-apa aduan daripada orang awam mahupun peminjam yang terbabit dengan isu yang dilaporkan.

"Sekiranya Kementerian mendapati isu yang dilaporkan itu cenderung kepada kes penipuan (scammer) oleh mana-mana pihak atau syarikat pemberi pinjaman wang yang tidak berlesen, perkara itu akan dirujuk kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

"Ini adalah kerana penguatkuasaan bagi syarikat pemberi pinjaman wang yang tidak berlesen atau pun Ah Long adalah terletak di bawah bidang kuasa polis," menurut kenyataan itu.

Rabu lalu, BH mendedahkan beberapa syarikat peminjam wang dikesan menyasarkan pelanggan dalam kalangan pencarum KWSP yang akan mengeluarkan caruman penuh atau dari Akaun 2 dengan menawarkan pinjaman mudah lulus.

Menggunakan nama skim sebagai 'pinjaman KWSP', syarikat itu menawarkan pinjaman bagi mereka yang akan mengeluarkan caruman penuh, iaitu pada usia 54 dan 55 tahun serta pengeluaran Akaun 2 berusia 49 dan 50 tahun.

Syarikat terbabit dikesan mengiklankan skim 'pinjam dahulu, bayar kemudian' pada laman sosial dengan pelbagai taktik bagi mengumpan pelanggan, antaranya menggunakan nama ala Arab, memaparkan gambar gadis bertudung dan logo KWSP.

KPKT meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai perkara itu mengemukakan aduan kepada kementerian melalui saluran https://aduan.kpkt.gov.my, aduan melalui aplikasi mobil atas talian iKrediKom atau aduan terus ke Bahagian Kawalan Kredit Komuniti, KPKT di talian telefon 03-88914667.

Kementerian itu menjelaskan pihaknya mengambil perhatian yang serius terhadap laporan yang disiarkan oleh BH.

"Bahagian Kawalan Kredit Komuniti sentiasa memantau urusan yang dilaksanakan oleh pihak Syarikat Kredit Komuniti atau Pemberi Pinjaman Wang berlesen di bawah KPKT agar mematuhi akta dan peraturan yang berkuatkuasa sepertimana yang diperuntukkan

dalam Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 [Akta 400].

"Tindakan termasuklah kompaun atau denda sehinggalah kepada penggantungan atau pembatalan lesen boleh dikenakan terhadap manamana syarikat yang didapati tidak mematuhi peruntukan di dalam akta berkenaan," katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/08/718816/kpkt-siasat-syarikat-pemberi-pinjaman-wang