Harga ayam naik di Alor Setar, pembekal dakwa tiada bekalan ...Rabu, 29 Julai 2020 | 12:15am
ALOR GAJAH: Bekalan daging dan ayam tempatan menjelang sambutan Aidiladha, Jumaat ini, dijamin mencukupi, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid.

Justeru sambil meminta pengguna tidak perlu bimbang, beliau memaklumkan, harga ayam standard ketika ini ialah antara RM5.90 hingga RM6 sekilogram.

"Menjelang Aidiladha ini, kita melihat penternak ayam berpegang pada janji sebelum ini untuk membantu menurunkan harga," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menutup Kursus Asas Penguat Kuasa untuk Pegawai Kadet Gred Lantikan KP41, di Tanjung Bidara, dekat sini, semalam.

Dalam pada itu, Rosol berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga sudah meminta peniaga supaya menurunkan harga pelitup muka kepada RM1.20 seunit mulai 15 Ogos ini berbanding harga semasa RM1.50.

Selain itu, beliau berkata, kementerian bercadang meningkatkan pengambilan kadet penguat kuasa daripada golongan profesional, terutama akauntan dan mereka yang memiliki kemahiran dalam bidang perniagaan berikutan peningkatan kes penipuan perdagangan kini.

Katanya, jumlah pegawai penguat kuasa daripada golongan profesional dicadang ditingkatkan kepada 50 peratus pada masa depan berbanding kadar antara 30 hingga 40 peratus ketika ini.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/07/715868/aidiladha-bekalan-daging-ayam-tempatan-mencukupi