bh berita harian vector logoRabu, 22 Julai 2020 | 11:46pm
KUALA LUMPUR: Gangguan bekalan air di kawasan Klang yang berlaku berikutan insiden paip pecah di kawasan tanah mendap sejak Isnin lalu, pulih 100 peratus pada jam 9 malam ini, manakala bagi lapan kawasan di Kuala Langat, masih dilakukan secara berperingkat.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri dalam kenyataan malam ini berkata, lapan kawasan yang masih belum pulih itu membabitkan seluruh kawasan Sijangkang dan Kampung Medan, Jalan Sijangkang Utama, Eco Sanctuary, Batu 9 Kebun Baru, Taman Perwira, Taman Seri Medan, Taman Sijangkang Jaya dan Tropica Aman.

"Air Selangor menjangkakan bekalan air pulih sepenuhnya jam 6 pagi esok.

"Bagi kawasan yang masih dalam proses pemulihan, bantuan air melalui lori tangki masih digerakkan bagi membantu pengguna terjejas," katanya.

Beliau turut memaklumkan orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai bekalan air dari semasa ke semasa menerusi laman sosial Twitter, Facebook, Instagram Air Selangor selain aplikasinya serta di laman sesawang www.airselangor.com. – BERNAMA

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/07/713851/bekalan-air-di-klang-pulih-100-peratus-kuala-langat-berperingkat