PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan menjelaskan buat masa ini, Skim Peduli Kesihatan Untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) masih dalam fasa projek perintis dan belum lagi dilancarkan sepenuhnya.Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pelancaran yang diadakan pada 28 Januari lalu adalah sesi pelancaran media yang bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap skim PeKa B40.Katanya, pada fasa ini, ia juga membuka ruang untuk Kementerian Kesihatan mengkaji penerimaan rakyat serta pemegang taruh lain terhadap skim ini.

Beliau berkata pembabitan dan sokongan setiap pemegang taruh adalah amat penting bagi memastikan kejayaan skim PeKa B40, iaitu satu inisiatif yang memberi fokus kepada jalinan kerjasama awam–swasta melalui pembiayaan daripada dana kerajaan."Bagi fasa projek perintis skim PeKa B40, pemegang taruh swasta yang akan terbabit dalam proses pemberian manfaat saringan kesihatan kepada pesakit adalah pemilik klinik perubatan am swasta dan syarikat makmal perubatan swasta."Selari dengan matlamat saya untuk memperkasakan perkhidmatan kesihatan primier di negara ini, skim Peka B40 secara langsung akan mempertingkatkan kerjasama antara pengamal perubatan di klinik perubatan am swasta dengan pengamal perubatan di fasiliti perubatan kerajaan.

"Pengamal perubatan am swasta memainkan peranan yang amat penting dalam usaha kerajaan memerangi penyakit tidak berjangkit di kalangan penduduk di Malaysia."Sehubungan itu, pemilik klinik perubatan am swasta yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan serta memenuhi kriteria pemilihan yang ditetapkan dipelawa untuk menyertai skim ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini mengulas beberapa laporan serta maklum balas pelbagai pihak terhadap skim PeKa B40.Katanya, Skim PeKa B40 diuruskan sendiri oleh Kementerian Kesihatan melalui ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (PHCorp), sebuah syarikat 100 peratus milik kerajaan dan telah ditubuhkan sebagai syarikat yang tidak berasaskan keuntungan di bawah Kementerian Kesihatan.

"PHCorp bukan sebuah Managed Care Organisation (MCO) atau Third Party Administrator (TPA). Penubuhannya bagi meluaskan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti dengan mengoptimakan penggunaan ekosistem pembekal kesihatan awam dan swasta sedia ada," katanya.