PUTRAJAYA – Sebanyak 303,415 kes kebankrapan yang ditadbir oleh Jabatan Insolvensi di seluruh negara sehingga Disember tahun lepas dilihat amat merugikan negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.Beliau berkata, jumlah kes yang ditadbir itu boleh menjejaskan produktiviti seterusnya pendapatan negara dalam jangka masa panjang.

“Ia harus ditangani dengan lebih cekap oleh jabatan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini susulan lawatan kerjanya ke Ipoh, Perak semalam bagi melihat keperluan penambahbaikan infrastruktur kemudahan Jabatan Bantuan Guaman, Jabatan Insolvensi Malaysia dan Mahkamah Tinggi Ipoh.Liew berkata, antara yang boleh dilakukan ialah dengan mengemas kini data sedia ada serta membuat kunjungan kepada para penghutang untuk mengetahui permasalahan di samping memberi panduan dalam mengatasi hutang mereka.

Mengenai penghutang yang telah meninggal dunia namun tiada pemberitahuan diberikan kepada pihak jabatan, Liew meminta agar waris keluarga terbabit memaklumkan kepada pihak Jabatan Insolvensi bagi membolehkan data kes dikemas kini.Katanya, wujud kekeliruan sebelum ini di mana waris dikatakan akan menanggung beban hutang penghutang, termasuk rampasan ke atas harta peninggalan.Namun katanya, maklumat tersebut kurang tepat dan seharusnya pihak waris datang ke pejabat Insolvensi berdekatan untuk penjelasan lanjut.

Dalam kenyataan yang sama, Ketua Pengarah Insolvensi Datuk Anas Ahmad Zakie berkata jumlah kes kebankrapan yang ditadbir dari 2014 sehingga 2018 adalah sebanyak 95,105 kes.Katanya antara punca utama kebankrapan berlaku meliputi pinjaman peribadi (27.76 peratus), sewa beli kenderaan (24.73 peratus), pinjaman perumahan (14.09 peratus) dan kad kredit (9.91 peratus).Lima negeri yang mempunyai kes kebankrapan tertinggi dalam tempoh sama ialah Johor (13,346 kes), Selangor (24,648 kes), Kuala Lumpur (11,774 kes), Pulau Pinang (6,832 kes) dan Perak (5,809 kes), katanya. – MalaysiaGazette