Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mendapati segelintir peniaga mengambil kesempatan dengan membuat tuntutan palsu bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).Pengarah Operasi, Bahagian Cukai Dalam Negeri Zon Tengah, JKDM Datuk Ahmad Maher Abd Jalil berkata kebanyakan peniaga yang terlibat dalam aktiviti ini adalah syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

”Mereka (peniaga) ini akan menghantar penyata (palsu) kepada pihak kastam bagi membolehkan bayaran balik GST dibuat kepada mereka.“Kami akan kesan pemilik syarikat serta dalang yang terlibat dalam (kegiatan ini),” katanya kepada pemberita ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya kini lebih berhati-hati dalam melaksanakan proses bayaran balik cukai GST kepada peniaga.“Pihak kami telah laksanakan dua ketetapan iaitu mengadakan lawatan ke syarikat yang membuat tuntutan bagi memastikan syarikat itu wujud.“Selain itu, bagi tuntutan yang jumlahnya besar iaitu jutaan ringgit, syarikat mereka akan diaudit terlebih dahulu” katanya.

Ahmad Maher berkata ketetapan baharu yang lebih ketat berhubung proses bayaran balik GST ini dibuat bagi mengelak ketirisan.Dalam pada itu, beliau berkata fokus utama JKDM pada tahun ini adalah membanteras kegiatan penyeludupan rokok dan minuman keras.“Pelaksanaan hukuman lebih tinggi terhadap penyeludup rokok diharap dapat memberi kesedaran kepada penjual atau penyeludup untuk tidak melakukan aktiviti itu lagi,” katanya.

-- Bernama