JOHOR BAHRU 20 Jan. - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberi jaminan bekalan makanan laut menjelang sambutan perayaan Tahun Baru Cina pada awal Februari ini adalah mencukupi.Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub yakin langkah awal yang diambil seperti menghalang beberapa bahan makanan itu daripada dieksport dapat memastikan isu kekurangan makanan tidak timbul."Saya telah diberikan taklimat bahawa bekalan itu cukup mencukupi dan beberapa spesies ikan tertentu telah kita halang daripada dieksport untuk pastikan ia cukup, untuk sementaralah...cukup menjelang perayaan Tahun Baru Cina," katanya.

Beliau berkata demikian dalan majlis penyerahan memorandum persefahaman (MoU) antara Johor Corporation (JCorp), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) di sini sebentar tadi.Menerusi MoU itu, ketiga-tiga pihak komited untuk bersama-sama melahirkan seramai 1,500 usahawan membabitkan 50 buah sekolah di bawah program Kelas Rancangan Usahawan (KRU) dengan memberi latihan, pendedahan dan bimbingan keusahawanan.Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim; Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak dan Timbalan Ketua Pengarah LPNM, Mohd. Khairuzamri M. Salleh. - UTUSAN ONLINE

 

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/bekalan-makanan-laut-cukup-menjelang-tahun-baru-cina-1.826211#ixzz5dPxzQ08w
© Utusan Melayu (M) Bhd