Hadkan kemahuan yang tak penting. SHUHADA MANSOR mahu remaja sama-sama menyimpan untuk masa depan tanpa sia-siakan duit belanja dan gaji bulanan. Tak semestinya pakai pakaian tidak berjenama menjadikan kita kolot dalam bergaya.

Tanyalah sesiapa sekali pun, pasti mahu dilihat bergaya di mata semua orang. Persepsi bergaya berkait rapat dengan barangan berjenama adalah salah. Hanya dengan memakai baju-T berharga RM30 sekali pun kita mampu kelihatan cantik jika pandai dipadankan dengan aksesori dan keyakinan diri.

Jangan hanya terlalu fikir negatif pandangan orang membuatkan kita memillih tempat makan. Lepak di warung tidak semestinya kita dilabel kelas rendah.

Berhutang dengan institusi perbankan bagi merealisasikan kemahuan memiliki kereta, pelaburan, kad kredit dan sebagainya antara cabang pilihan anak muda sekarang.

Tahukah anda apa akibatnya jika hutang gagal dibayar dalam tempoh ditetapkan?

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muammalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr Mohd Fisol Ibrahim berkata, kegagalan membayar balik pinjaman dalam tempoh tertentu akan menyebabkan kita disenarai hitam oleh pihak bank melalui Credit-Tip-Off (CTOS) atau Centre Credit Reference Information System (CCRIS). Lebih membimbangkan kegagalan ini menyebabkan anda diisytihar muflis.

CCRIS adalah jabatan kredit yang menyimpan maklumat laporan dihantar bank berkaitan pembayaran individu yang berhutang manakala CTOS adalah pang­kalan data yang menyimpan rekod buruk berkaitan hutang yang kita lakukan. Ia menjadi sumber semakan terhadap sebarang tindakan mahkamah terhadap pemohon pinjaman dan hutang baru di institusi perbankan.

Penulis faham, kehidupan pada zaman sekarang apatah lagi anda yang ‘berjuang’ tinggal di kota seolah-olah terpaksa berhutang untuk hidup. Kesukaran hidup disebabkan kita gagal membuat keputusan terbaik antara penyesalan yang sukar ditarik balik. Jangan terlalu ikutkan hati untuk memiliki lebih daripada orang lain membuatkan kita terpaksa meminjam. Bahagikan kemahuan, kehendak dan keperluan sebelum berbelanja.

LAWAN NAFSU SENDIRI

Pakar motivasi dan jutawan muda Internet, Irfan Khairi berpendapat kekayaan bukan bermaksud berapa banyak pendapatan kita peroleh, tetapi berapa banyak kita boleh simpan untuk masa depan. Ada individu bergaji tinggi dan belanjanya juga tinggi. Lebih membimbangkan apabila remaja sekarang sama ada wang poket diberikan ibu bapa atau baru mula bekerja, sudah pandai berbelanja melebihi duit poket yang ada.

Katanya, prinsip mahukan sesuatu lebih daripada pendapatan dikenali sebagai Parkinson’s Law. Ia bermaksud, lagi tinggi pendapatan makin banyak kehendak yang kita mahu. Sibuk berbelanja, akhirnya kita tidak dapat menyimpan untuk kegunaan kemudian hari.

Kita boleh halang kehendak ini dengan cara ‘reverse pyscology’. Kuatkan hati dengan sentiasa ingat bahawa masa depan lebih penting berbanding bergaya hanya untuk masa sekarang.

BOROS

Sikap negatif antara penghalang untuk kita berubah. Jika kita selesa dengan berbelanja mewah hanya untuk makan pagi, kita tetap akan lakukannya meskipun duit gaji semakin ‘menipis’. Sikap memang sukar dikawal apatah lagi membabitkan isu kewangan iaitu boros. Boros membuatkan kita mudah ‘pendek akal’.

Contohnya, kita mudah terpengaruh dengan promosi barangan ataupun pakaian baru di rak butik tanpa melihat harga dan wang yang ada. Hanya untuk menang bergaya, ada antara kita sanggup pejam mata dan keluarkan duit yang banyak hanya untuk sehelai baju bernilai ratusan ringgit. Penulis percaya, rasa gembira cuma sekejap dan kita akan terseksa sebelum tibanya hujung bulan.

JUALAN MURAH

Berpakaian kemas dan bergaya bukanlah kesukaan setiap lelaki. Ada antara kamu lebih suka berpakaian santai dan sempoi. Tapi, dalam keadaan tertentu pastinya memerlukan anda menonjolkan karisma di tempat mata orang lain contohnya menghadiri majlis makan malam dan seumpamanya.

Bagi anda yang berperwatakan santai, mungkin tidak perlu mengeluarkan belanja banyak, namun bagi lelaki yang pentingkan gaya 24 jam, akan ada konflik dalam membeli barang kelengkapan penampilan.

Persoalannya, kenapa jenama memainkan peranan penting dalam aspek pemakaian? Ini kerana pakaian berjenama lebih berkualiti dan direka khas untuk memberi impak kepada si pemakai.

Tapi janganlah terlalu terkongkong dengan prinsip itu, banyak juga kedai pakaian yang menjual baju menarik dengan harga murah.

Terdapat banyak pasaraya besar menjual baju tanpa jenama dan lebih menguntungkan apabila dibeli ketika jualan murah. Tidak perlu membelanjakan RM80 - RM100 untuk sehelai baju jika kita boleh dapatkan dengan harga RM30-RM50 sehelai.

Mungkin ada perbezaan kualiti, tapi jika ia segak dikenakan, apa salahnya membeli. Jarang orang bertanya jenama apa yang digayakan, hanya pujian diterima jika kena dengan tubuh anda.

BERSEDERHANA UNTUK MASA DEPAN

Menurut Dr Mohd Fisol yang juga pendakwah bebas, tentukan matlamat perbelanjaan. Jika anda mahu membeli motosikal berharga RM6,000 dengan tidak berhutang, rancang setahun lebih awal. Simpan duit poket atau gaji sebanyak RM400 sebulan dalam tempoh 15 bulan. ‘Ikat perut’ seketika untuk lebih selesa kemudian hari.

Hidup biarlan di bawah kemampuan. Jika me­ngikut kemampuan, kita akan ‘cukup-cukup’ makan hing­ga hujung bulan, namun jika di bawah kemampuan pastinya akan ada duit lebih untuk simpanan. Jangan berlebihan dalam berbelanja. Hidup sederhana bukan bermakna kita tidak boleh me­ngejar kekayaan. Bersederhana sekarang membuatkan kita bersedia dengan lebih banyak harta dan wang disimpan untuk kegunaan masa depan.