KANGAR: Rakyat negeri ini dinasihat mengurangkan aktiviti pelancongan ke Thailand, khususnya Hatyai, berikutan penularan virus Chikungunya di wilayah itu baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Teh Chai Ann, berkata pihaknya kini sedang memantau secara ketat pelancong dari negara jiran itu yang masuk ke negara ini.

Beliau berkata, tumpuan pemantauan itu dilaksana di pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand iaitu di Padang Besar, Wang Kelian dan Jeti Kuala Perlis bagi pengunjung yang menaiki feri dari Satun, Thailand.

“Pihak berkuasa termasuk Jabatan Kesihatan negeri akan melakukan pemeriksaan di pintu masuk dan mengenal pasti individu yang berisiko membawa virus itu agar penularannya dapat dikawal di negeri ini.

“Kita khuatir jika kawasan sempadan tidak dikawal dengan baik, penyakit itu boleh merebak dengan pantas ke negara ini.

“Jadi saya meminta rakyat dapat memberikan kerjasama kepada Jabatan Kesihatan negeri seandainya mereka perlu menjalani pemeriksaan ketika berada di pintu sempadan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Chai Ann berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan pasukan keselamatan dalam memastikan langkah kawalan dan keselamatan bergerak seiring.

“Ini kerana, pintu masuk di Padang Besar menjadi pilihan utama pelancong dari Hatyai kerana jaraknya lebih dekat berbanding pintu masuk di Bukit Kayu Hitam, Kedah.

“Selain itu, kita juga sarankan pelancong dari Perlis agar menjalani rawatan pemeriksaan sekiranya mereka terkena demam panas, ruam di badan dan berasa sengal sendi sejurus pulang dari Thailand,” katanya.

Semalam, media tempatan Thailand, Bangkok Post, melaporkan virus Chikungunya iaitu jangkitan yang biasanya berlaku di Afrika dikesan berlaku di Hatyai.

Menurut laporan media berkenaan, berpuluh-puluh pesakit terpaksa mendapatkan rawatan di klinik di bandar berkenaan akibat jangkitan virus berkenaan.