KUALA LUMPUR: Saranan Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) yang mahu kerajaan mengkaji semula tempoh pemilikan harta intelek dan hak cipta karya terbitan rumah produksi tempatan yang diberikan kepada stesen televisyen (TV) sejak hampir sedekad lalu disambut baik produser.Mereka berpendapat, sudah tiba masa hak siaran diberi semula kepada penerbit selepas dua atau tiga tahun dijual, sekali gus dapat menjana kembali pendapatan untuk menghasilkan program baharu.Pengarah Urusan Tanah Beris Film Production Sdn Bhd, Suhaimi Lua berkata, isu itu sudah lama diperjuangkan dan berharap suara mereka akan didengar kerajaan.

“Menerusi penyerahan semula hak cipta dan harta intelek (IP), penerbit tidak perlu terlalu bergantung kepada sumber lain untuk menghasilkan drama atau program baharu.“Suara kolektif sebegini dirasakan lebih kuat kerana disalurkan menerusi persatuan, namun penerbit juga perlu terus bersatu dalam memperjuangkan isu ini.“Saya percaya, PTVM yang memperjuangkan isu ini dan beberapa perkara sampingan lain mampu menegakkan hak kami,” katanya kepada BH Online.Suhaimi juga yakin, pertemuan PTVM dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, minggu lalu akan membawa sinar baharu buat produser yang selama ini berdepan pelbagai kekangan.Sebelum ini, ada syarikat produksi yang terpaksa gulung tikar disebabkan pelbagai faktor termasuk masalah dana, kesukaran mendapat jam siaran dan ketelusan syarat pinjaman.

Dalam pertemuan kira-kira sejam di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya itu, persatuan yang memayungi syarikat penerbitan drama dan program TV tempatan turut membentangkan beberapa isu lain.Antaranya memasukkan semula peruntukan terhadap industri kreatif dalam peruntukan kewangan negara sebagai cara untuk industri lebih berdaya saing.Mereka turut menyarankan insentif pengecualian cukai kepada syarikat korporat yang menaja program dan mengehadkan pengeluaran lesen penerbitan TV, selain memastikan hanya syarikat yang berdaya saing diberi kontrak.

Selain itu, kajian terhadap syarat patuh syariah dikenakan bagi mendapatkan pinjaman bank atau Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan memperincikan semula kadar harga pembelian kandungan TV yang tidak berubah sejak dulu.Sementara itu, penerbit Insular Challenge Sdn Bhd, Shahira Sheha Abdul Aziz Bernabe, 32, menyifatkan, penyerahan IP dan hak cipta terus kepada penyiar merugikan semua pihak.Katanya, perkara itu menghalang program atau drama tempatan daripada diedarkan ke negara luar apabila rumah produksi tidak lagi mempunyai pegangan selepas ia dijual kepada stesen TV.“Syarikat kami turut membekalkan rancangan dari luar negara sejak 10 tahun lalu, selain menerbitkan program travelog dan drama.“Kami sering menerima permintaan untuk membawa program terbitan syarikat ke luar negara, tetapi ia tidak dapat dilaksanakan kerana kami sudah tiada pegangan.“Agak merugikan memandangkan dalam syarat penyerahan, hanya beberapa kali program atau drama itu boleh ditayangkan stesen TV.“Sudahnya, produk yang dihasilkan dengan kos yang bukan sedikit itu terperap begitu saja. Dasar itu ternyata merugikan,” katanya yang pernah menerbitkan telefilem Nur Balqis.