Di Malaysia, persatuan pengguna telah ditubuhkan di peringkat negeri dahulu sebelum bergabung di bawah sebuah pertubuhan di peringkat nasional. Empat persatuan pengguna yang mula-mula sekali ditubuhkan ialah:

  1. Januari 1965  -   Persatuan Pengguna Selangor (SCA)
  2. November 1969  -  Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
  3. Februari 1971 -  Persatuan Pengguna Sarawak (CAS)
  4. Mac 1971 -  Persatuan Pengguna Negeri Sembilan (CANS) 

Pada bulan April 1971, satu mesyuarat telah diadakan di Cameron Highland untuk membincangkan penubuhan sebuah persatuan gabungan. CAP telah diberi tugas untuk mengadakan mesyuarat kedua di Pulau Pinang pada bulan Jun 1971 untuk membuat perancangan akhir penubuhan, tetapi gagal.

 

Kemudian tiga lagi persatuan pengguna negeri telah ditubuhkan, iaitu:

  1. Julai 1971  -  Persatuan Pengguna Kedah (CAKE)
  2. Mac 1972 -  Persatuan Pengguna Perak (PCA)
  3. May 1972 -  Persatuan Pengguna Melaka (CAM)

Kemudian satu lagi perbincangan dibuat untuk menubuhkan sebuah gabungan. Semua pihak bersetuju untuk membentuk sebuah persekutuan yang longgar tanpa menghilangkan kuasa autonomi persatuan-persatuan pengguna negeri. Akhirnya lahirlah Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (atau singkatannya FOMCA) pada 10 Jun 1973 di Alor Setar, Kedah.

Selepas penubuhan FOMCA, persatuan-persatuan pengguna negeri lain yang ditubuhkan ialah:

  1. Julai 1973  -   Persatuan Pengguna Johor (JCA)
  2. Ogos 1973 -   Persatuan Pengguna Johor (JCA)
  3. November 1973 -   Persatuan Pengguna Pahang (PAC)
  4. Jun 1976  -  Persatuan Pengguna Terengganu (2PTR)
  5. Ogos 1980  -   Persatuan Pengguna Sabah dan Labuan (CASH) 

Dalam pada itu, FOMCA turut memainkan peranan aktif di peringkat antarabangsa. Semenjak tahun 1987, FOMCA telah dilantik sebanyak tiga kali menduduki Lembaga Pengarah Consumers International (CI), iaitu sebuah pertubuhan pengguna antarabangsa yang menggabungkan 225 buah pertubuhan pengguna dari 119 buah negara. Pada masa ini FOMCA menganggotai Lembaga Pengarah CI untuk tempoh sehingga tahun 2003.

Sehingga kini, seramai enam orang menjadi Presiden FOMCA, iaitu:

  1. 1973 - 1974 - Allahyarham Dato' Mohamed Sopiee Sheikh Ibrahim
  2. 1974 - 1981 - Encik Tara Singh Gill
  3. 1981 - 1988 - Mendiang Encik Bishan Singh Bahadur
  4. 1988 - 1991 -  Encik Chua Kim Tee
  5. 1991 - 2004 -  Prof. Dato' Mohd Hamdan Hj. Adnan
  6. 2004 - Kini -  Prof. Datuk Dr. Marimuthu Nadason