Hak asasi manusia adalah hak yang tidak boleh dipisahkan dan kebebasan yang layak bagi setiap insan sebagai seorang manusia. Hak-hak tersebut menjamin maruah dan harga diri insan manusia serta menggalakkan kebaikan insani. Hak asasi manusia berbentuk sejagat, tidak boleh dipisahkan dan saling bergantung. Asas bagi setiap hak asasi manusia ialah kefahaman bahawa setiap insan manusia mempunyai maruah dan harga diri. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mendokumenkan hak-hak asasi manusia yang patut dimiliki oleh setiap insan manusia di dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) untuk memastikan maruah dan harga diri manusia adalah dihormati dan dilindungi.