KUALA LUMPUR: Orang ramai disaran untuk tidak terpedaya dengan helah penjualan barangan rampasan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), secara dalam talian.Taktik penipuan ini dikesan mulai tular dalam Facebook sejak beberapa hari lalu, yang memaparkan koleksi rampasan JKDM yang dijual secara dalam talian khususnya melalui laman web ‘socalaner.com’.Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri T Subromaniam, berkata pihaknya sedia maklum bahawa kegiatan penjualan secara dalam talian ini adalah satu penipuan scam.“Pada masa ini JKDM sedang menjalankan siasatan terhadap sindiket penipuan penjualan barang rampasan Kastam secara dalam talian bagi membolehkan kami mengenal pasti pihak tidak bertanggungjawab.“Saya berharap orang ramai tidak mudah percaya dan berhati-hati dengan trend penipuan ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, mereka yang terpedaya dengan tawaran pembelian barangan berkenaan bakal berhadapan dengan risiko kehilangan wang apabila barang yang dijanjikan tidak akan tiba manakala dalangnya menghilangkan diri.“Mereka yang mempunyai sebarang kemusykilan serta ingin menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penipuan ini boleh menghubungi talian bebas tol Kastam,1-800-888-855.“JKDM juga akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) bagi mengesan dalang sindiket penipuan ini yang berkemungkinan beroperasi dari luar negara,” katanya.Sejak beberapa hari lalu, laman web socalaner.com dikesan memaparkan tawaran penjualan harga istimewa untuk barangan rampasan oleh JKDM.Antara barang yang dijual adalah jam tangan berjenama Armani, Cartier, Swarovski yang ditawarkan dengan harga RM299 berbanding harga asalnya sekitar RM799.

Menerusi pautan yang dipaparkan, mereka yang berminat mendapatkan jam tangan berkenaan dikehendaki memberikan butiran diri serta membuat pembayaran ke akaun yang diberikan.Pembeli yang ingin mempunyai sebarang pertanyaan juga turut disarankan untuk berhubung menerusi aplikasi WhatsApp di talian +85264394534.

Sumber: Berita Harian